Sabtu, 5 Jun 2010

Elaun bulanan KRT RM500 berkuat kuasa mulai Julai

Oleh Adha Ghazali

Penambahan dapat bantu gerakkan aktiviti lebih aktif

KANGAR: Berkuatkuasa bulan depan, semua 4,700 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara akan menerima kenaikan elaun bulanan berjumlah RM500, berbanding RM200 sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, keputusan penambahan elaun itu dibuat selepas pihaknya menerima kelulusan peruntukan tambahan RM14 juta baru-baru ini, berbanding jadual asal hanya kira-kira RM5.6 juta.

Beliau berkata, perubahan ini diharap dapat membantu KRT menggerakkan aktivitinya dengan lebih aktif selepas ini, berbanding 118,000 aktiviti membabitkan penyertaan lebih lima juta penduduk pada sepanjang tahun lalu.

"Pertambahan bermula 1 Julai ini membolehkan setiap KRT menerima elaun bulanan RM500, iaitu tambahan RM300 berbanding hanya RM200 sebulan sebelum ini.

"Jadi, kita harap semua KRT di seluruh negara akan bergerak lebih aktif terutama dalam aktiviti kemasyarakatan, termasuk membabitkan soal keselamatan kawasan kediaman melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS)," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis 2010 di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, di sini.

Sementara itu, Koh berkata, pertambahan elaun RM14 juta itu hanya membabitkan jadual pembayaran antara tempoh Julai dan Disember 2010.

"Buat masa sekarang, terdapat 4,700 KRT di seluruh negara dan jika ada pertambahan kelak, saya yakin bajet untuk pembayaran elaun kepada KRT akan turut dinaikkan," katanya.

Tiada ulasan: