Khamis, 17 Jun 2010

Dr M ulangi kuasa politik Melayu hakis, risiko jadi minoriti


KUALA LUMPUR — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad buat kali kedua minggu ini mendakwa orang Melayu negara ini akan dipinggirkan dalam kuasa politik, sekali gus menjadi kuasa minoriti sebagaimana disaksikan di Singapura.

Bekas presiden Umno memberikan pandangan yang sama Isnin lalu ketika berucap pada program Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, laporan The Malaysian Insider awal hari ini, memetik majoriti penganalisis politik tempatan berpendapat ia tidak mungkin berlaku.

Sehubungan itu dalam tulisan blognya hari ini, Dr Mahathir (gambar) menegaskan masa sudah tiba untuk orang Melayu memikir dengan mendalam akan nasib masa depan mereka.

“Bersatu teguh, bercerai roboh. Pilihlah yang mana satu,” kata beliau lagi.

“Saya akan dituduh ‘chauvinist’ dan ‘racist’ kerana menyuarakan pendapat saya ini.

“Saya sanggup dilabel dengan apa sahaja label. Niat saya ialah untuk memperingati kita semua sebelum nasi jadi bubur. Berpecah dan berebutlah.

“Akhirnya yang dikendong akan berciciran dan yang dikejar tidak tercapai,” kata beliau dengan mengakhiri tulisannya, “wahai Melayu, ke mana kamu?”

Menurut perdana menteri paling lama menerajui Malaysia, pemimpin Melayu berpendapat dengan 60 peratus daripada warga negara terdiri daripada Melayu, mereka masih menjadi majoriti dan masa depan mereka terjamin.

“Angka ini tidak banyak berubah apabila terbentuknya Malaysia,” katanya lagi.

Kata negarawan ini, dalam sistem demokrasi memanglah majoriti akan berkuasa tetapi yang tidak diambil kira oleh kepimpinan Melayu ialah mereka akan berpecah dan bermusuh sesama sendiri.

“Apabila ini berlaku kelebihan jumlah mereka tidak lagi akan menjadi mereka kaum majoriti dalam negara,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, perpecahan bermula apabila ulama-ulama Umno memisahkan diri mereka untuk menubuhkan Parti Islam Se-Malaysia, yang pada mulanya ia tidak berjaya menghakis sokongan kepada pertubuhan utama orang Melayu iaitu Umno.

Beliau seterusnya menulis, kemudian kerana rebutan kepimpinan dalam Umno iaitu parti serpihan Semangat 46 ditubuh.

“Walaupun Semangat 46 dibubar dan diserap semula kedalam Umno tetapi ramai yang tidak dapat terima percantuman semula ini. Dengan itu sedikit sebanyak Umno kehilangan penyokong.

“Kemudian Timbalan Presiden Umno (Datuk Seri Anwar Ibrahim) terpaksa disingkir daripada Umno dan ia berjaya dengan cara-cara tertentu mengheret keluar ahli Umno untuk menyertai satu lagi parti Melayu.

“Perbuatan ini berjaya membahagikan orang Melayu kepada tiga buah parti, iaitu Umno, PAS dan PKR,” katanya.

Dr Mahathir menambah, dengan adanya tiga buah parti, orang Melayu yang dahulu menjadi majoriti warga negara dengan jumlah 60 peratus daripada seluruh rakyat Malaysia sudah berpecah dan terbahagi kepada tiga kumpulan.

Malangnya menurut beliau, tidak ada satu pun daripada kumpulan ini yang disokong oleh majoriti rakyat.

“Ketiga-tiga mendapat sokongan tidak lebih daripada 30 peratus rakyat negara. Dengan perkataan lain orang Melayu sudah jadi puak minority dalam negara,” katanya lagi.

Oleh itu ujar beliau, sebagai puak minoriti mereka tidak mungkin lagi menjadi kuasa utama dalam parti-parti campuran yang disertai oleh mereka.

“Mungkin mereka diletak sebagai pemimpin tertinggi dalam kerajaan-kerajaan pusat dan negeri. Tetapi mereka terpaksa mengikut telunjuk rakan-rakan mereka.

“Kita lihat di Perak umpamanya apabila kerajaan yang diketuai oleh Melayu dijatuhkan, kaum tertentu menganggap bahawa sebuah kerajaan milik kaum itu yang dijatuhkan.

“Mungkin di peringkat pusat juga akan ada ketua kepimpinan yang terdiri daripada Melayu tetapi duduk dibawah telunjuk orang lain,” katanya lagi.

Dr Mahathir juga menulis, dengan ini besar kemungkinan Melayu secara sebenar sudah menjadi puak minoriti yang tidak berkuasa di negara sendiri.

“Kalau mereka berpendapat mereka akan diberi layanan yang baik apabila sudah tidak sebenar berkuasa, lihatlah sahaja nasib kaum mereka yang sudah menjadi kaum minoriti di negara jiran,” kata beliau dengan merujuk kepada Singapura.

Tiada ulasan: