Jumaat, 4 Jun 2010

Anwar pohon dokumen ‘cabar’ penetrasi, kes ditangguh 14 Julai

TERKINI
BERNAMA

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga 14 Julai perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ketua pembangkang itu memohon supaya semua dokumen perubatan dibekalkan kepada beliau.

Permohonan itu dibuat sehari selepas seorang doktor yang memberi keterangan kepada mahkamah, mengesahkan berlakunya penetrasi zakar ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Anwar.

Mahkamah dijadual mendengar pemeriksaan balas terhadap pakar bedah dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Razali Ibrahim selepas pihak pendakwaan selesai melakukan pemeriksaan utama terhadap saksi kedua itu pagi ini.

Bagaimanapun, peguam utama Anwar, Karpal Singh memaklumkan kepada mahkamah yang penuh sesak itu bahawa pihak pembelaan memerlukan beberapa dokumen dan bahan untuk diteliti oleh pakar forensik Australia Prof Madya David Lawrence Noel Wells, yang dilantik sebagai pemerhati oleh pasukan pembelaan Anwar, sebelum menyoal balas Dr Mohd Razali.

Antara rekod yang dipohon oleh Anwar ialah nota klinikal tiga doktor dari HKL yang memeriksa Mohd Saiful pada 28 Jun 2008, dua hari selepas Mohd Saiful mendakwa diliwat oleh Anwar.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudian menetapkan 18 Jun untuk mendengar permohonan itu

Semalam, Dr Mohd Razali mengesahkan bahawa berlaku penetrasi zakar berdasarkan laporan kimia yang menunjukkan kehadiran air mani pada empat kapas kesat yang diambil daripada Mohd Saiful.

Karpal Singh berkata beliau memfailkan notis untuk mendapatkan dokumen berkenaan dengan menyertakan afidavit sokongan daripada Anwar dan Wells.

Pada 29 Jan, Mahkamah Persekutuan ketika menolak permohonan Anwar supaya pihak pendakwaan membekalkan kepada beliau pelbagai dokumen termasuk dokumen perubatan dan sampel spesimen, memutuskan bahawa beliau boleh memohon untuk mendapatkan dokumen itu ketika perbicaraan berlangsung.

Dalam permohonannya, Anwar meminta semua nota klinikal dan laporan perubatan, bahan, spesimen, email, nota bertulis tangan, surat-menyurat, catatan dan pemerhatian oleh ketiga-tiga doktor yang telah memeriksa Mohd Saiful.

Dr Mohd Razali menjalankan pemeriksaan ke atas bekas pembantu Anwar itu bersama-sama dengan pakar rawatan kecemasan Dr Khairul Nizam Hassan dan pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng.

Anwar turut memohon sejarah lengkap pemeriksaan perubatan ke atas Mohd Saiful yang dijalankan di HKL, proforma serangan seksual standard dan kit serangan seksual yang digunakan oleh hospital dan kelayakan serta pengalaman ketiga-tiga doktor berkenaan.

Dalam afidavitnya, Wells berkata beliau diminta oleh Anwar untuk member keterangan sebagai seorang pakar dan beliau telah pun memberi keterangan di kesemua wilayah di Australia lebih 800 kali.

Beliau berkata bagi membolehkan beliau memberi apa jua nasihat yang berguna kepada peguam Anwar, adalah penting dan mustahak untuk memperoleh semua dokumen serta bahan berkenaan.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, didakwa meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kodominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Terdahulu, ketika disoal oleh Peguam Cara Negara II yang juga ketua pendakwa Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, Dr Mohd Razali, 37, yang bertugas dengan Jabatan Pembedahan HKL, memberi keterangan bahawa semua peralatan yang digunakan untuk memeriksa Mohd Saiful telah pun dibasmi kuman.

Beliau berkata lembapan yang ditemui dalam kawasan sekitar dubur Mohd Saiful mungkin disebabkan oleh bahan berasaskan air dan gel pelincir.

Ketika ditunjukkan gel pelincir, Dr Mohd Razali bersetuju dengan pendakwaan bahawa gel itu boleh digunakan dalam perlakuan seksual selain bagi memeriksa dubur pesakit.

Ditanya sama ada Mohd Saiful ada memberitahu beliau bahawa seseorang telah memasukkan objek plastik ke dalam duburnya, Dr Mohd Razali menjawab: “Tidak.

Tiada ulasan: