Khamis, 17 Jun 2010

Anwar Persoal Tindakan Felda Lengahkan Bayaran Dividen, Bonus Dan Pampasan

oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan kerajaan yang seolah-olah membebankan peneroka Felda apabila melengah-lengahkan proses pembayaran tabung tanaman semula yang berjumlah RM17,000 kepada setiap keluarga.

"Kenapa ianya diserahkan kepada Felda Plantation, tidak diberikan terus kepada peneroka? Bagaimanakah ketelusan prosedur pemulangan wang bagi tanaman semula yang berjumlah RM17,000 untuk setiap peneroka tersebut?

"Kita mengimbau semula sejarah pada tahun 1960 dimana GSA (Akta Penempatan Berkelompok) diwujudkan pada zaman Almarhum Tun Razak.

Janjinya jelas, iaitu rasional pengambil alihan tanah adalah untuk memastikan perjalanan pembangunannya berkesan," kata Anwar dalam respons kepada soalan bertulis dalam Dewan Rakyat hari ini.

Soalan bertulisnya yang dijawab oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berhubung isu samada kerajaan akan mengkaji semula akta GSA bagi membolehkan ianya diambil kembali dan dimanfaatkan bagi penempatan generasi kedua Felda.

Anwar turut mempersoalkan kaedah pembayaran bonus dan dividen berasaskan baki perolehan yang berjumlah RM200 juta. Selain itu beliau turut bertanyakan status bayaran pampasan kepada peneroka yang tanahnya telah diambil oleh kerajaan untuk tujuan tertentu, seperti pembangunan dan lainnya.

Beliau membangkitkan kes di Felda Sungai Buaya yang mana para peneroka di gugusan tersebut dijanjikan untuk menerima sejumlah bayaran, namun masih belum menerima baki pampasan atas tanah yang berjumlah lebih dari RM800,00 dan masih tertunggak sehingga ke hari ini.

"Kerajaan diminta untk mempertimbangkan perkara ini. Pulangan dan hasil haruslah setimpal dengan ikhtiar dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh peneroka.

Tiada ulasan: