Selasa, 1 Jun 2010

Anwar Gesa PBB, Amerika Syarikat kecam Israel

TV SELANGOR

Serangan ganas komando Israel terhadap misi bantuan kemanusiaan Gaza mendapat kecaman meluas.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan Israel dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat mengenakan tindakan keras keatas rejim Tel Aviv.

“Kita sudah mengutuk keras serangan komando Israel ke atas fortila misi keamanan untuk membantu rakyat Gaza Palestin dan kekejaman ini keterlaluan," tegas Anwar.

Kira-kira 12 rakyat Malaysia, termasuk petugas media Astro Awani, disahkan berada di atas kapal Mavi Marmara, yang mengepalai flotilla keamaan ke Gaza yang diserang tentera Israel hari ini.

Mereka adalah sebahagian dari misi Talian Hayat untuk Gaza, yang menyertai misi keamanan membawa 10,000 tan bantuan keamanan ke Semenanjung Gaza yang dikenakan sekatan ekonomi oleh rejim Tel Aviv.

Selain dari Talian Hayat untuk Gaza, enam lagi badan bukan kerajaan Malaysia termasuk Jemaah Islamiah Malaysia dan Yayasan Amal turut menyertai konvoi ini.

Awal hari ini, media antarabangsa melaporkan unit khas Tentera Laut Israel menyerbu Mavi Marmara dan membunuh sekurang-kurangnya 19 aktivis keamanan.

Lengkap bersenjata dan menggunakan peluru hidup, rejim Tel Aviv berikrar untuk berbuat apa-sahaja, termasuk melanggar Piagam PBB, untuk menghalang konvoi berisi bantuan kemanusiaan ini dari tiba ke pantai Gaza.

Agensi berita antarabangsa turut melaporkan serangan tiga kapal pengangkut dan tiga kapal kargo ini berlaku di perairan antarabangsa.

Kapal-kapal yang berjaya dirampas komando Israel ditunda ke bandar Haifa dan bukan pelabuhan Ashdod bagi mengelakkan liputan media.

Mereka yang terbunuh masih belum dikenalpasti, dan nasib dua wartawan Astro Awani masih misteri, kerana Tentera Israel menyekat semua bentuk perhubungan sekitar operasi ini.

Tiada ulasan: