Jumaat, 18 Jun 2010

Anwar Bidas Kerajaan Cuba Alih Isu Kepada Soal Pengganas

SABAH DAILY

Taktik kerajaan Umno-Barisan Nasional yang mengalih perhatian umum dengan memainkan isu Jemaah Islamiah merupakan satu strategi agar rakyat leka terhadap isu besar lain seperti penglibatan Apco Worldwide dalam soal keselamatan negara ini, tindakan menyerahkan tanah KTMB di Tanjung Pagar kepada Singapura dan juga beberapa rancangan pengambilan tanah serta soal lesen judi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau kesal dengan tindakan tersebut dan menyifatkan kerajaan tidak serius dengan segala usul di bawa oleh Pakatan Rakyat berhubung soal keselamatan dan maruah negara.

"Kita lihat kerajaan sekarang sedang melakukan usaha mengalih perhatian umum kepada isu yang telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkenaan dengan isu JI.

"Umno-BN cuba mengalihkan isu yang telah kita dedahkan dulu berkaitan dengan penglibatan Apco, lesen judi mahupun penyerahan aset negara kepada negara luar dan juga soal pengambilan tanah daripada terus menjadi perhatian umum. Sehingga sekarang perkara tersebut tidak pernah diambil perhatian oleh kerajaan untuk diambil tindakan. Bagi menutup isu tersebut kerajaan menggunakan isu yang baru tentang pergerakan yang berada di negara ini selain bertindak menakut-nakutkan rakyat.

"Kita juga berpendirian sikap pelampau tidak boleh dibiarkan dan diambil tindakan tegas, tetapi isu yang besar itu janganlah dibiarkan perlu diselesaikan segera bukan dengan menggunakan cara mengalihkan pandangan rakyat. Kita tidak bolehterima dengan cara ugutan dan menakutkan rakyat sehingga memberitahu polis akan memantau pelajar-pelajar yang hadir mendengar ceramah.

"Ini satu tindakan yang tidak betul dan sukar untuk kita terima kenapa kerajaan perlu mengambil sikap sedemikian, selesaikan dulu isu yang telah kita bentangkan di dalam parlimen," tegas Anwar pada sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menambah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara sepatutnya diselesaikan oleh pihak polis bukannya membuat pendedahan kepada media seumpama mencari populariti.

"Isu JI sepatutnya pihak polis mengambil tindakan bukannya membuat pendedahan tanpa tindakan, saya melihat sikap Musa Hassan adalah umpama mencari populariti ataupun menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar kontraknya yang dijangka berakhir pada September tahun ini disambung.

"Kita mahu kerajaan tegas dalam soal yang telah di bentangkan di parlimen bukan mengalih perhatian, apa yang telah didedahkan melibatkan soal keselamatan negara terutamanya soal Apco yang secara jelas terdapat penglibatan perisik Israel, ini belum lagi kes penyerahan aset negara seperti tanah dan blok minyak kepada negara luar," katanya lagi.

Anwar juga berharap fokus perlu ditumpukan kepada soal keselamatan sementara soal JI perlu diselesaikan oleh pihak polis dan bukan menggunakan cara pendedahan awam tentang kumpulan tersebut agar rakyat berasa takut dengan situasi yang berlaku di dalam negara ini.

Sebelum itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Musa pada 14 Jun lalu menyatakan kumpulan JI sedang berusaha untuk menghidupkan kembali perjuangan mereka.

Selain itu beliau menambah kumpulan terbabit merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan untuk berjihad di luar negara.

Dalam kenyataan yang sana, Musa juga berkata pemantauan akan dilakukan ke atas pelajar yang mengikuti sebarang ceramah atas faktor keselamatan negara. -SK

Tiada ulasan: