Khamis, 3 Jun 2010

AC Mizal perlu dipenjara atau tidak: Mahkamah tetapkan hujah 29 Julai

UTUSAN ONLINE

KAJANG - Isu sama ada pelakon dan pengacara terkenal, AC Mizal perlu dipenjarakan atau sebaliknya akan dihujahkan pada 29 Julai ini.

Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan tarikh tersebut ketika permohonan bekas isteri artis itu, Shafnie Zainuddin agar dia dikenakan tindakan menghina mahkamah disebut di hadapan Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah hari ini.

Shafnie mengemukakan permohonan itu berikutan kegagalan AC Mizal membayar nafkah anak seperti yang diperintahkan oleh mahkamah sehingga mencecah RM50,000.

Terdahulu, peguam syarie, Azmi Rais yang mewakili Shafnie, 34, selaku plaintif memberitahu, pihaknya telah memasukkan afidavit balasan terhadap pembelaan pelakon utama filem 'My Spy' itu.

Antara yang dinyatakan dalam afidavit tersebut ialah alasan AC Mizal telah membuka satu akaun khas untuk nafkah kedua-dua anak tidak memadai dan tidak boleh diterima kerana akaun tersebut hanya dibuat sembilan bulan selepas permohonan itu difailkan.

Tambahan pula, kedua-dua anak mereka, Muhammad Shafiq Iman, 14, dan Muhammad Shabil Iman, 11, tidak mempunyai akses kepada akuan tersebut kerana kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipegang oleh artis itu.

Shafnie dalam afidavit itu turut menyatakan, bekas suaminya sepatutnya memasukkan duit nafkah itu ke dalam akaunnya selaku penjaga sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini.

Pada prosiding hari ini, AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 38, yang diwakili oleh peguam syarie, Siti Aishah Din tidak hadir selepas mendapat pengecualian mahkamah.

AC Mizal dan Shafnie bernikah pada 24 Jun 1995 sebelum bercerai talak satu pada 17 Oktober 2001.

Mengikut perjanjian asal, artis tersebut diperintah membayar nafkah dua orang anak sebanyak RM2,000 sebulan sehingga kanak-kanak terbabit berusia 18 tahun.

Bekas pengacara rancangan Akademi Fantasia itu bagaimanapun gagal membayar nafkah anak sehingga mencecah RM50,000.

Pada 22 Disember 2004, mahkamah yang sama mengeluarkan perintah agar jumlah tunggakan tersebut dibayar secara ansuran sebanyak RM200 sebulan dan bakinya akan dibayar melalui potongan gaji daripada akaun.

Selain itu, responden diperintahkan untuk membayar nafkah semasa bagi setiap bulanan untuk kedua-dua anak sebanyak RM300.

Selepas bercerai dengan Shafnie, pelakon filem Cicakman itu telah berkahwin pula dengan pelakon Emylia Rosnaida pada 10 Oktober 2002 dan kini mempunyai dua orang anak iaitu Mohd. Reeve Damien dan Fea Eryssa.

AC Mizal juga sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah yang sama berhubung permohonan Shafnie untuk mengubah perintah nafkah anak daripada RM300 kepada RM3,770 sebulan.

Jumlah yang dipohon oleh Shafnie itu merangkumi makan minum bulanan sebanyak RM400, pengangkutan (RM240), insurans pendidikan (RM1,000), pembantu rumah (RM200), pengajian al-Quran (RM280), dana amanah pendidikan (RM1,000) dan sewa rumah atau ansuran rumah (RM650).

Selain itu, dia menuntut perbelanjaan tahunan berjumlah RM9,000 yang merangkumi pakaian (RM3,000), perubatan (RM1,500), yuran sekolah atau tuisyen (RM500), aktiviti kokurikulum (RM1,000) dan hiburan serta percutian (RM3,000).

Tiada ulasan: