Jumaat, 9 Januari 2009

Kerajaan bakal perkenal petrol Ron 95

SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan penggunaan petrol Ron 95 bagi memberi kualiti petrol yang lebih baik pada harga berpatutan kepada rakyat pertengahan tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Samad berkata, penggunaan petrol Ron 95 ini akan mempunyai harga yang sama dengan Ron 92 sekarang iaitu RM 1.72 seliter.

Menurutnya, kebanyakan negara maju telah pun menggunakan petrol Ron 95 sebagai petrol berkualiti dan sesuai untuk pelbagai jenis kenderaan.

“Petrol Ron 95 ini kita akan perkenalkan pada Jun dan Julai tahun ini dan ia akan menjadi petrol yang sesuai untuk rakyat. Ia berkualiti dan harganya berpatutan,” katanya selepas merasmikan Kad Kredit dan Kad Debit Tesco-RHB di sini, semalam.

Beliau berkata, penggunaan Ron 95 ini akan menjadi satu gred asas petrol dalam negara, selain Petrol Ron 97 dan Ron 92.

“Ron 97 secara asasnya merupakan satu petrol yang mahal manakala Ron 92 pula merupakan petrol yang kurang berkualiti berbanding Ron 95.

“Kebanyakan negara terutama di Eropah telah menggunakan petrol Ron 95 ini untuk semua jenis kenderaan,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP akan mendedahkan mekanisme penetapan harga petrol yang diamalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

Shahrir berkata, beliau akan mengadakan taklimat kepada media dan mengedarkan carta penetapan harga petrol untuk diumumkan kepada rakyat.

“Carta ini akan membantu rakyat memahami penetapan harga petrol dan diesel yang dilakukan oleh KPDNHEP,” katanya.

Tiada ulasan: