Sabtu, 9 Ogos 2008

Seorang lagi polis ditahan bantu siasatan kes kehilangan dadah

JOHOR BAHARU: Seorang lagi anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan sejumlah dadah dari bilik bahan bukti minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang mengesahkan penahanan itu berkata lelaki yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu ditahan petang semalam di IPK berkenaan.

"Dengan penangkapan itu, jumlah anggota polis yang ditangkap (berhubung kes itu) setakat ini adalah tiga orang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan lokasi baru balai polis Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, dekat sini hari ini.

Beliau berkata polis sedang berusaha mendapatkan perintah tahanan reman terhadap anggota tersebut di mahkamah hari ini, dan menurutnya polis yakin kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

Semalam pada sidang akhbarnya di IPK, Mohd Mokhtar mengesahkan berlakunya kehilangan sebahagian dadah rampasan jenis syabu dari bilik bahan bukti itu yang menjadi bahan bukti kes rampsan dadah bernilai RM48 juta, Mac lepas.

Pada persidangan akhbarnya itu beliau berkata Khamis lepas Jabatan Narkotik Johor membuat laporan polis berhubung kehilangan dadah tersebut, dan satu pasukan siasatan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu menahan dua anggota polis pada hari Jumaat serta Sabtu lepas, dan kedua-dua mereka kini direman selama seminggu.

Sementara itu mengulas mengenai siasatan berhubung penyebaran khidmat pesanan ringkas(SMs) membabitkan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Wee Ka Siong, Mohd Mokhtar berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya, dua hari lepas.

Wee pada awal bulan ini membuat laporan polis berhubung penyebaran SMS kononnya beliau bakal meletak jawatan daripada kabinet dan MCA seperti yang dilakukan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. BERNAMA

Tiada ulasan: