Jumaat, 15 Ogos 2008

Loji air RM12 juta siap, air masih tiada
Basiron Abdul Wahab

TEMERLOH - Kesulitan untuk mendapatkan bekalan air bersih lebih 15,000 penduduk di Lancang tidak berakhir walaupun loji berharga RM12 Juta telah siap dan beroperasi.

Ini kerana sejak 10 Ogos lalu, bekalan air bersih di kawasan terbabit telah terputus dan penduduk menghadapi masalah sama seperti yang dihadapi sejak 30 tahun lalu.

Difahamkan, logi baru di Mempateh itu mampu merawat air antara 800,000 hingga 1.4 juta meter padu air sehari untuk disalurkan kepada pengguna di lebih 50 buah kampung.

Sementara itu, PAS Pahang meminta pihak berkuasa dan Jabatan Bekalan Air menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti punca masalah terputus bekalan dikawasan berkenaan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Abdul Majid Hasan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, masalah dihadapi penduduk dikawasan berkenaan seolah-olah tiada kesudahan meski pembinaan Loji menelan kos RM12 juta telah siap sepenuhnya Februari lalu.

Malah, katanya, loji berkenaan turut menjadi bahan kempen Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu tetapi ternyata pelaburan yang besar bagi pembinaan loji berkenaan tidak juga dapat mengatasi masalah bekalan air kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Lebih menyedihkan, tambah beliau ialah masalah itu turut dihadapi oleh ribuan pelajar sekolah khususnya sekolah rancangan Khas yang tinggal di asrama. Fenomena itu sangat membimbangkan ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar dibawah skim pembelajaran berkenaan yang sudah tentu menghadapkan keselesaan lebih-lebih lagi pada musim pepereksaan sekarang.

Menurut Abdul Majid, kebimbangan itu bapa itu sememangnya berasas dan mereka mahu kerajaan, JBA dan Kementerian Pelajaran mengkaji semula kedudukan kelas rancangan khas di sekolah Menengah Dato' Bahaman, Lancang itu.

Katanya, kemarahan ibu bapa sudah sampai ke tahap meminta kementerian memindahkan kelas rancangan khas itu dipindahkan ke sekolah yang mempunyai kemudahan asas (bekalan air) yang lebih baik bagi menjamin anak-anak mereka dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa.

PAS Pahang, kata Abdul Majid memandang serius perkara ini dan tegas dalam memperjuangkan isu bekalan air ini.

Difahamkan semasa Temerloh menghadapi krisis bekalan air pada tahun 2003 dahulu ahli PAS bertindak mengadakan demonstrasi secara aman dihadapan Pejabat JBA di Temerloh.

Mereka mendesak JBA dikecualikan bayaran selama sebulan di atas kesengsaraan yang mereka hadapi.

Selain Lancang, banyak lagi kawasan lain di Pahang turut menghadapi masalah sama, tetapi jawapan yang diberi JBA adalah sama iaitu masalah penggantian paip baru yang belum selesai.

Air adalah antara punca pendapatan tertinggi kerajaan selepas tanah sejak dua tahun kebelakangan ini. - mks. _

Tiada ulasan: