Selasa, 26 Ogos 2008

Hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM266.7 bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Dis 2007 ialah sebanyak RM266.7 bilion, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM247.1 bilion atau 92.7 peratus, membabitkan hutang dalam negeri manakala bakinya sebanyak RM19.6 bilion (7.3 peratus) merupakan hutang luar negeri.

"Hutang luar negeri adalah kecil, selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan pinjaman luar bagi mengurangkan risiko pertukaran mata wang asing dan mengutamakan pinjaman daripada sumber domestik," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teo Nie Ching (DAPSerdang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Teo ingin tahu jumlah wang yang terhutang oleh dan kepada kerajaan serta siapakah pemiutang dan penghutang utama.

Mengenai pihak yang memberi pinjaman kepada kerajaan, Abdullah berkata bagi pinjaman projek, pemiutang terdiri daripada institusi dua hala dan pelbagai hala seperti Bank Pembangunan Islam (IDB), Bank Pembangunan Asia (ADB), Bank Dunia dan Bank Kerjasama Antarabangsa Jepun (JBIC).

"Bagaimanapun, bagi pinjaman pasaran yang dibuat melalui terbitan bon, pemiutang sukar ditentukan kerana bon diurus niaga di pasaran setiap hari," katanya.

Abdullah berkata Kerajaan Persekutuan juga memberikan pinjaman kepada syarikat-syarikat kerajaan, kerajaan negeri, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, koperasi serta pelbagai agensi lain.

Beliau berkata sehingga 31 Dis 2007, jumlah hutang semua pihak berkenaan dengan Kerajaan Persekutuan ialah sebanyak RM50.8 bilion. BERNAMA

Tiada ulasan: