Jumaat, 29 Ogos 2008

(Dikemas kini)

Anwar angkat sumpah MP baru, BN Sabah Sarawak ikrar taat setia PM
Oleh G. MANIMARAN, ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Ketika pembangkang meraikan kehadiran semula bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh buat penggal kelima di Dewan Rakyat pagi semalam, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah dan Sarawak pula mengisytiharkan taat setia mereka akan bersama BN.

Majoriti ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak menyatakan pendirian tidak akan lompat parti sebagaimana yang diuar-uarkan pembangkang sejak keputusan pilihan raya kecil diumumkan Selasa lalu.

Meskipun spekulasi itu dinafikan oleh beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak dari semasa ke semasa itu muncul semula semalam.

Di sebalik upacara angkat sumpah Anwar sebgai anggota Dewan Rakyat muncul spekulasi bahawa 40 hingga 50 Ahli Parlimen BN akan melompat parti dalam waktu terdekat.

Satu surat yang mengandungi tandatangan semua Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sebagai tanda sokongan mereka.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dipetik Bernama berkata, kenyataan yang dibuat pembangkang mengenai perkara itu merupakan suatu rekaan dan pembohongan semata-mata.

"Sokongan anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan BN dan kita akan sentiasa bersama BN walaupun ada cerita di luar sana bahawa kononnya ada ura-ura anggota Parlimen dari kedua-dua negeri nak melompat (parti)," katanya yang mewakili anggota Parlimen kedua-dua negeri itu pada sidang media di lobi Parlimen di sini.

Kira-kira 20 anggota Parlimen Sabah dan Sarawak hadir pada sidang media itu bagi menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Douglas Unggah Embas dan anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Shafie yang juga anggota Parlimen Semporna berkata pendirian tidak akan berlaku lompat parti itu turut dinyatakan dua anggota Parlimen BN dari Sabah iaitu Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau) yang sebelum ini didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya telah bercakap dengan Eric Majimbun dan Chua Soon Bui pagi ini (semalam), saya berjumpa mereka dan mereka memberi jaminan kepada saya bahawa mereka masih kekal bersama BN," kata beliau.

"Pendirian kami sangat jelas jadi saya harap tiada spekulasi, jangan dengar spekulasi yang dibuat (Penasihat Parti Keadilan Rakyat) (Datuk Seri) Anwar Ibrahim atau sesiapa di luar (parti)," katanya.

Semalam, Anwar selepas mengangkat sumpah berkata, rancangan menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru dengan mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 30 anggota Dewan Rakyat dari BN menjelang 16 September masih kekal.

"Perdana Menteri telah kehilangan mandat negara," kata Anwar sambil menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan "kesemua kroni mereka" harus dikeluarkan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua tidak mengulas lanjut melainkan berkata, "kami akan mengumumkan bila tiba masanya."

Kini BN mempunyai 140 anggota di Dewan Rakyat manakala pembangkang di bawah perikatan tidak formal Pakatan Rakyat mempunyai 82 anggota.

Pakatan Rakyat memerlukan 30 lagi anggota untuk menubuhkan kerajaan.

Ketika kempen, Anwar berkata, Pakatan Rakyat sudah pun memiliki 84 wakil rakyat dengan dua kerusi 'tambahan' merujuk kepada sama ada anggota sebuah parti dari Semenanjung atau Sabah.

Tiada ulasan: