Ahad, 10 Ogos 2008

Bekalan beras ST15 cukup untuk Ramadan dan Hari Raya

PUTRAJAYA: Bekalan beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) dijamin mencukupi menjelang Ramadan dan musim perayaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed hari ini.

Jaminan itu disuarakan beliau hasil daripada pertemuan dengan Persatuan Pengilang Bumiputera, Bernas dan pihak pemborong malam tadi.

"Ingatan sudah diberikan kepada pengeluar untuk memastikan bekalan mencukupi dan yakin tidak akan berlaku sebarang masalah besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementerian dan menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun tuntutan pengeluar menaikkan harga beras ST15 tidak ditunaikan, mereka tidak boleh memberikan sebarang alasan untuk mengurangkan pengeluaran beras jenis itu kerana kerajaan bersetuju memberikan subsidi bagi meringankan beban kerugian pengeluar.

Rabu lepas kerajaan bersetuju memperuntukkan dana berjumlah sekitar RM400 juta sebagai bantuan subsidi kepada kirakira 160 pengilang beras ST15 di seluruh negara berikutan kenaikan harga padi sekitar RM1,100 satu tan berbanding sebelum ini RM850.

Di samping bekalan beras Mustapa berkata bekalan ayam juga dijangka tidak bermasalah dan mencukupi untuk menampung keperluan pengguna pada Ramadan dan Hari Raya.

Menyentuh mengenai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 yang akan berlangsung selama 12 hari bermula Selasa ini, Mustapa berkata sasaran jualan kali ini sebanyak RM10 juta berbanding RM6 juta tahun lepas.

Beliau berkata 13 buah negara turut mengambil bahagian pada MAHA kali ini. BERNAMA

Tiada ulasan: