Ahad, 17 Ogos 2008

Anwar tidak bersalah - Hadi

IPOH - Pas tetap dengan pendirian bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dalam kes liwat walaupun bekas pembantu khasnya Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat beliau bersumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta petang semalam. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan perbuatan Mohd. Saiful itu sebagai politik kotor yang didorong oleh pihak tertentu dan menganggap institusi agama telah juga dipergunakan dalam hubungan itu.

"Itu satu kebodohan terhadap hukum Islam, malangnya melibatkan mereka yang memakai jenama agama. Itu (bersumpah) tidak menepati apa yang dikehendaki dalam hukum Islam.

"Yang ada dalam Islam ialah li'an (iaitu sumpah melibatkan suami isteri)...sumpah dengan kitab suci ini ialah amalan Kristian yang bersumpah dengan Bible.

"Kita orang Islam mestilah li'an. Li'an ialah dalam tuduhan zina suami kepada isteri (tetapi) Anwar dan Saiful ini bukan suami isteri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu sumpah laknat menggunakan al-Quran oleh Mohd. Saiful.

Beliau berkata adalah tidak wajar masyarakat menghukum Anwar berdasarkan tindakan Mohd. Saiful yang 'kebetulan' dibuat sehari sebelum proses penamaan calon Parlimen Permatang Pauh berlangsung.

Menurut beliau, perkembangan terbaru itu tetap tidak akan menjejaskan sokongan dan kepercayaan Pas kepada Anwar, sebaliknya parti itu akan terus membantu Anwar untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.- Bernama

Tiada ulasan: