KULIM: Misteri kehilangan seorang wanita lebih seminggu lalu terjawab apabila dia ditemui maut dalam keretanya yang terbalik dalam parit berhadapan kuil di Ladang Maryland, Jalan Batu Puteh-Sugnai Kob, dekat sini, hari ini.
Mayat L Hemavathi, 43, yang juga operator di sebuah kilang ditemui pada jam 8.30 pagi di tempat duduk pemandu dan dipercayai terperangkap dalam parit dikelilingi semak berhampiran kawasan ladang sawit.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati mangsa yang memandu Honda Jazz hitam, keluar rumah Khamis minggu lalu kerana mahu ke kuil di Taman Sepilai, dekat sini untuk upacara kepada mendiang suaminya yang meninggal dunia 13 tahun lalu.
"Mangsa tinggal di Kampung Banggol Penyengat, Karangan bagaimanapun didapati tidak pulang ke rumah dan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
"Bimbang dengan keselamatannya, adik lelaki mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan kakaknya itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sazalee berkata, hasil siasatan lanjut polis bersama ahli keluarga mangsa menemui kereta wanita terbabit dalam parit besar di lokasi kejadian dan menggunakan khidmat pasukan bomba untuk membuka pintu kenderaan.
"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa kemungkinan masuk ke laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit yang agak terlindung dari jalan utama.
"Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kesan brek atas jalan dan kereta mangsa remuk bahagian bumbung dan juga hadapan," katanya.
Beliau berkata, mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar namun beg udara keselamatan kenderaan terbabit berfungsi dengan baik.
"Mayat mangsa sudah berbau kerana dipercayai meninggal dunia lebih tujuh hari lalu dan kita agak sukar untuk melihat kecederaannya secara kasar berikutan fizikalnya terjejas.
"Pemeriksaan lanjut mendapati barang kemas seperti cincin, rantai, gelang masih ada dan pakaiannya juga lengkap seperti sejak awal dia keluar rumah," katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang unsur jenayah ditemui setakat ini dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan