Rabu, 29 September 2021

Laporan audit dedah pengurusan penyenggaraan kuarters di Putrajaya kurang cekap

BERNAMA

Pembaikan dan naik taraf kuarters di Putrajaya seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri dilaksanakan dengan kurang cekap dan kurang berkesan.

Pengurusan penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf kuarters di Putrajaya seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dilaksanakan dengan kurang cekap dan kurang berkesan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019, Siri 2.

Menurut laporan audit itu, terdapat kelemahan dalam pemantauan dan pengurusan aduan kerosakan serta proses pembaikan dan naik taraf unit kuarters kosong yang tidak teratur.

“Keadaan ini menyebabkan kelewatan serahan semula kuarters yang telah dibaiki kepada unit kuarters untuk penawaran kepada penghuni baru,” menurut laporan audit itu yang dikeluarkan hari ini.

Pengauditan melibatkan penilaian terhadap pengurusan penyenggaraan, pembaikan dan naik taraf kuarters di Putrajaya bagi tempoh 2017 hingga 2020 yang meliputi dua bidang utama audit iaitu prestasi aktiviti dan pengurusan aktiviti.

Pengauditan melibatkan BPH sebagai pentadbir aktiviti, dua agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya (PPj) serta 13 kontraktor Facilities Management and Maintenance Services (FM) yang dilantik oleh kedua-dua agensi pelaksana.

Laporan audit itu mendedahkan yang penyelesaian aduan oleh kontraktor FM lantikan JKR Putrajaya secara keseluruhannya hanya 75.7% berbanding Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan iaitu 90%.

“Keadaan berlaku kerana banyak aduan yang tertunggak walaupun telah diberi notis peringatan oleh JKR disebabkan prestasi kontraktor yang rendah,” menurut laporan itu.

Menurut LKAN itu, walaupun prestasi keseluruhan penyelesaian aduan kontraktor FM lantikan PPj pada kadar 94% iaitu melebihi KPI 85% yang ditetapkan, namun terdapat empat kontraktor FM yang hanya mencapai 45.5 hingga 84% penyelesaian aduan pada bulan tertentu dalam tempoh tahun 2017 hingga 2020.

Selain itu, menurut laporan itu penyenggaraan preventif melibatkan kerja pemangkasan pokok pagar unit kuarters jenis teres dan pemotongan rumput kuarters jenis banglo tidak dilaksanakan mengikut jadual berdasarkan 314 aduan penghuni.

“Terdapat 141 aduan kerosakan gutter yang bocor atau tersumbat kerana ditumbuhi pokok dan akar menjalar ke dalam saluran di unit kuarters bertanah. Kerosakan itu disebabkan tiada pemeriksaan dan penyenggaraan berkala oleh kontraktor FM,” menurut laporan berkenaan.

Lima kontraktor FM lantikan JKR Putrajaya didapati tidak mematuhi Service Level Agreement (SLA) bagi penyelesaian aduan (repair time) melibatkan sebanyak 2,917 aduan dan repair time yang diambil adalah antara 15 hingga 771 hari, katanya.

Lima kontraktor FM lantikan PPj pula menyelesaikan 125 aduan kerosakan melebihi 14 hari seperti yang ditetapkan SLA dan repair time yang diambil adalah antara 15 hingga 146 hari.

Menurut laporan audit itu, pembaikan unit kuarters kosong dengan kerosakan major oleh JKR Putrajaya dan PPj mengambil masa yang lama iaitu antara 69 hingga 1,051 hari untuk JKR Putrajaya dan 13 hingga 885 hari bagi PPj.

Laporan audit itu mengesyorkan BPH menumpukan kepada pemantauan dan prestasi agensi, manakala semua kerja penyenggaraan perlu diserahkan kepada pihak JKR Putrajaya dan PPj.

Ia juga mengesyorkan JKR dan PPj menguruskan aduan menggunakan sistem yang boleh merekod aduan secara komprehensif termasuk pengkelasan major atau minor dalam sesuatu aduan serta rekod response time dan repair time oleh kontraktor.

“JKR dan PPj hendaklah memastikan semua jenis penyenggaraan preventif diambil kira dalam kontrak dan dinyatakan dalam jadual penyenggaraan. Ketidakpatuhan terhadap klausa kontrak oleh kontraktor perlu diambil tindakan,” demikian menurut laporan itu.

Tiada ulasan: