Perolehan perabot atau aset di Kompleks Seri Perdana antara penyumbang kos ubah suai menelan belanja RM30 juta, selain kerja-kerja pengubahsuaian dalaman dan teknikal lain.
Dalam satu kertas makluman berhubung justifikasi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung isu kos ubah suai di Seri Perdana, antara perkara yang dibangkitkan berhubung perolehan perabot yang terpaksa dijalankan susulan permintaan mantan Perdana Menteri (PM) Keenam, Datuk Seri Najib Razak.
“Kompleks Seri Perdana dinaik taraf berdasarkan status fizikal kompleks tersebut yang memerlukan pengubahsuaian hiasan dalaman, pembaikan teknikal serta perolehan perabot/aset yang mana pada ketika ini sebahagian besar perabot/aset sedia ada di Kompleks Seri Perdana sedang dipindah keluar atas permintaan mantan Perdana Menteri keenam,” kata laporan tersebut yang dilihat Agenda Daily.
Laporan tersebut juga berkata kelewatan pemindahan aset peribadi PM Keenam juga menyebabkan penilaian semula perlu dibuat ke atas perolehan perabot.
Pada masa yang sama disebabkan kelewatan urusan pengeluaran aset peribadi mantan PM Keenam telah menyebabkan penilaian semula perlu dibuat ke atas peroleh perabot,” kata laporan itu lagi.
Bagaimanapun, tidak didedahkan nilai aset perabot yang dipindahkan tersebut.
Kerja pengubahsuaian tersebut dijalankan oleh pihak JKR memandangkan Seri Perdana merupakan aset milik kerajaan bawah kendalian agensi tersebut.
“Mengikut norma JKR, pendawaian elektrik dan mekanikal yang melebihi 15 tahun perlu diganti terutama bagi bangunan yang diubahsuai termasuk kelengkapan lampu, penghawa dingin dan papan agihan.
“Untuk rekod pendawaian elektrik dan mekanikal di Blok Private tidak pernah dinaik taraf sejak siap dibina pada tahun 1997,” katanya lagi.
Difahamkan, kos menggantikan perabot juga sudah menelan jutaan ringgit dan hampir semua perabot didakwa adalah milik PM Keenam tersebut, kata laporan itu lagi.
Terdahulu, PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu di Dewan Rakyat kerja-kerja ubah suai dan naik taraf Kompleks Seri Perdana dilakukan setelah mengambil kira faktor-faktor keselamatan pemimpin nombor satu negara.
Beliau memaklumkan antara faktor lain termasuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu-tetamu utama negara semasa program-program rasmi Perdana Menteri.
“Pengubahsuaian ini meliputi skop-skop utama seperti penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal, serta sistem penghawa dingin dan pengubahsuaian struktur di Blok Kediaman Rasmi serta penggantian perabot-perabot rasmi yang telah uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia,” katanya dipetik dalam jawapan bertulis bertarikh 27 September itu.
Soalan berhubung isu kos ubah suai itu dibangkitkan Datuk Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena) yang ingin tahu mengenai status projek ubah suai di Seri Perdana yang dikatakan membabitkan kos sebanyak RM30 juta.
Beliau juga ingin tahu apa justifikasi projek yang mewah ini perlu dibuat semasa rakyat sedang berperang dan terkesan dengan pandemik Covid-19 selain komponen dan skop yang terlibat.
Memetik jawapan bertulis itu lagi, status pengubahsuaian kediaman rasmi itu pada masa ini dilaksanakan sebagaimana dijadualkan di mana sehingga 31 Ogos lalu, prestasi semasa kerja-kerja pengubahsuaian telah mencapai 60 peratus kemajuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan