JOHOR BAHRU – Seorang pemandu syarikat perkhidmatan
menghantar barang maut selepas kenderaan dipandunya terbakar akibat
terlibat dalam kemalangan di Jalan Tasik Utara, Larkin, di sini, hari
ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Mohd Suhaimi Jamal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.40 pagi dan seramai 10 anggota dengan kekuatan satu jentera telah digegaskan ke lokasi kejadian.
Kemalangan itu, jelasnya, melibatkan sebuah lori lima tan yang dipandu mangsa lelaki berusia 23 tahun.
Difahamkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba mengelak kon jalan sebelum merempuh sebatang pokok.
“Kemalangan itu mengakibatkan lori mulai terbakar, dan
mangsa tidak dapat keluar kerana tersepit, orang awam cuba mengeluarkan
mangsa namun api terlalu marak,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Suhaimi berkata, pasukan penyelamat bertindak menggunakan satu aliran bantu mula bagi memadamkan kebakaran.
“Kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan sebanyak 70 peratus dan anggaran kerugian masih lagi didalam siasatan.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan