Selasa, 28 September 2021

Penjelasan vaksin COVID-19 perlu disampaikan kepada pelajar

BH ONLINE
Penjelasan mengenai vaksin COVID-19 harus diberikan kepada remaja atau pelajar sekolah secara berterusan. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Penjelasan mengenai vaksin COVID-19 harus diberikan kepada remaja atau pelajar sekolah secara berterusan. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Penjelasan mengenai vaksin COVID-19 harus diberikan kepada remaja atau pelajar sekolah secara berterusan supaya mereka lebih prihatin mengenai pencegahan penyakit dalam mengekang penularan wabak berkenaan terhadap golongan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan, berkata walaupun tiada undang-undang yang mewajibkan pelajar mengambil vaksin, kaunselor di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah perlu memainkan peranan memberi kesedaran serta kepentingan vaksinasi kepada pelajar.

"Suntikan vaksin penting untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 sekali gus memastikan sistem pembelajaran berfungsi dengan baik. Pemberian vaksin kepada remaja adalah jalan terbaik bagi mengekang penularan jangkitan itu dalam kalangan remaja.

"Ibu bapa harus memahami situasi pandemik ketika ini dan dapat memberikan kerjasama yang baik dengan mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan vaksin supaya ekosistem pendidikan Malaysia tidak terjejas," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Heng Suan berkata, pandemik COVID-19 adalah satu cabaran kepada golongan pendidik dan pelajar dalam meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana wabak itu bukan sahaja membabitkan nyawa seorang pesakit, tetapi satu komuniti atau populasi.

Katanya NUTP percaya sekolah akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan mengambil kira langkah mengawal penularan jangkitan COVID-19 ketika pelajar memulakan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula secara rasmi pada 20 September lepas menyasarkan pembabitan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, dengan 60 peratus daripada mereka mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Bagaimanapun, program itu telah dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 September dan Labuan pada 11 September selepas kadar vaksinasi di negeri dan wilayah persekutuan itu mencapai 80 peratus.

Di Sabah pula dimulakan pada 16 September kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Sukimin Juki, berkata pemberian vaksin COVID-19 kepada pelajar sekolah adalah cara terbaik ketika ini memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi sekali gus mampu mewujudkan ekosistem yang selamat di sekolah.

Beliau berkata, bagi mewujudkan persekitaran yang selamat di sekolah, bukan hanya warga sekolah seperti guru, pihak pengurusan dan petugas sokongan sahaja perlu divaksin, tetapi juga pelajar sekolah bagi mewujudkan gelembung yang lebih selamat sesama mereka.

"Pemberian vaksin adalah yang terbaik buat masa ini. Mungkin tidak 100 peratus, tetapi dalam usaha mewujudkan ekosistem yang selamat, ia antara langkah terbaik pada waktu ini," katanya.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Mohd Ariffin Abdul Rahman, berkata walaupun warga sekolah dan pelajar telah menerima suntikan vaksin, tindakan terbaik adalah mematuhi segala SOP yang telah digariskan.

Beliau berkata, ia berikutan sekiranya SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka tidak diterapkan dengan baik, jangkitan masih boleh berlaku biarpun majoriti telah menerima vaksin.

"Kalau sudah divaksin tetapi tidak jaga SOP, kemungkinan jangkitan itu akan ada dan mungkin berada pada tahap satu atau dua. Tapi kita tidak mahu itu berlaku jadi langkah tambahan adalah jaga SOP walau di mana kita berada, dalam atau luar sekolah," katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: