Menuruk pakar psikologi
ramai yang menghadapi tekanan sejak pandemik melanda negara dan
memerlukan sesuatu untuk meredakan stres.
Tindakan orang ramai “berlumba-lumba” bercuti ke Langkawi selepas kerajaan mengumumkan pulau itu sebagai projek rintis gelembung pelancongan domestik bulan ini menunjukkan mereka bukan hanya sekadar hendak bercuti, kata pakar
Fauziah Sa’ad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata mereka pergi ke Langkawi sebagai salah satu cara mereka melepaskan “tekanan” selepas lama “terkurung”, kata pakar.
Menurutnya, secara fitrahnya, manusia perlu hidup bebas namun pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengekang Covid-19 telah menyekatnya.
“Kita adalah makhluk yang bersosial,” kata pakar psikologi dan kaunseling itu kepada MalaysiaNow.
“Pada pandangan saya, ramai ingin pergi ke Langkawi bukan sekadar ‘makan angin’ tetapi mereka ingin lepaskan stres. Berkurung dalam rumah untuk tempoh masa yang lama memang agak tertekan.”
Fauziah berkata, kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa langkah mengurung rakyat tidak lagi sesuai, adalah tepat kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental masyarakat.
Sebelum ini Langkawi Tourism Association (LTA) memberitahu MalaysiaNow hotel dan resort yang berdaftar di bawahnya menerima 6,000 tempahan, menganggarkan pendapatan hampir RM24 juta bagi tiga hari pembukaannya bermula 16 September.
Walaupun kes Covid-19 dalam negara masih lagi tinggi dan masih melebihi 10,000 sehari, ini tidak menyebabkan ketakutan kepada orang ramai untuk ke Langkawi sehingga dilaporkan pengendali pelancongan terpaksa menolak tempahan berlebihan kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kapasiti 50%.
Fauziah berkata, antara isu yang terus menghantui masyarakat dan menyebabkan gangguan emosi adalah masalah kewangan apabila ramai yang terjejas dari segi sumber pendapatan.
“Selain itu, kehidupan kita dari segi aspek sosial, keluarga, kerja dan peribadi akan bertindih.
“Contohnya, semasa sedang bekerja, kita juga perlu memastikan anak mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR),” katanya.
Tambah beliau, perkara itu akan menambah tekanan individu sekali gus menyukarkan untuk memberi tumpuan dan akhirnya menjejaskan prestasi kerja.
Keganasan rumah tangga, bunuh diri
Menurut Fauziah, tekanan akibat berkurung di rumah juga adalah antara faktor peningkatan kes keganasan rumah tangga dan bunuh diri sejak kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun memberitahu Dewan Rakyat pada Khamis sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan dalam kalangan masyarakat sepanjang PKP dilaksanakan bagi tempoh Mac 2020 hingga Ogos.
Sementara itu, kementerian kesihatan mendedahkan sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan di Malaysia antara Januari hingga Julai tahun ini, menunjukkan peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Mengulas mengenai perkara ini, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Mohamed Fadzil Che Din berkata kegagalan untuk mengawal emosi boleh menyebabkan individu bertindak agresif.
“Peranan emosi adalah untuk memastikan kita berfungsi sebagai manusia. Apabila berinteraksi, kita perlukan emosi yang stabil.
“Sebab itu bahaya jika seseorang itu mempunyai gangguan emosi. Dia boleh bertindak agresif dan tidak lagi ‘berfungsi’ sebagai manusia,” katanya kepada MalaysiaNow.
Fadzil berkata ramai yang masih tidak begitu arif mengenai masalah gangguan emosi dan cara untuk menanganinya.
Katanya, Malaysia tidak mempunyai kurikulum yang berstruktur untuk menguruskan masalah gangguan sosial dan ia sering disalah anggap sebagai penyakit mental.
“Cara terbaik untuk berdepan dengan gangguan emosi adalah menerusi pendekatan psikososial iaitu menggunakan elemen psikologi dalam masyarakat. Gunakan cara perbincangan dan kaunseling cukup untuk bantu, bukan pendekatan psikiatri.
“PKP adalah isu sosial. Ramai keliru dan anggap ia sebagai masalah mental,” katanya.
Menurut Fadzil kes gangguan emosi sepatutnya diuruskan oleh kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan bukannya kementerian kesihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan