KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menarik balik atau mengehadkan lesen kepada individu warga emas berusia 70 ke atas.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, setiap warga emas mempunyai kemampuan berbeza untuk memandu, malah ada yang lebih baik berbanding pemandu lain bukan kategori warga emas.
“MOT tidak pernah beri arahan untuk mensyaratkan warga emas lebih 70 tahun kembalikan lesen kerana kompetensi setiap orang berlainan. Seperti Langkawi, (Dr Mahathir Mohamad), beliau dapat memandu dengan baik dan jauh lebih baik daripada orang (pemandu) ‘gila-gila’ (lain).
“Jadi, kita tidak boleh mendiskriminasi mereka yang berumur 70 tahun ke atas. Isu ini bukan pendirian MOT dan kita tidak berhasrat untuk menukarnya (syarat hadkan tempoh lesen warga emas) kerana tahap kompetensi bukan berdasarkan faktor umur kerana banyak sebab berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta MOT menjelaskan isu mengehadkan tempoh memandu bagi warga emas.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Azisman Alias mencadangkan kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas susulan banyak faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya, termasuk kesihatan golongan itu.
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani bagaimanapun menjelaskan cadangan itu lebih bersifat peribadi dan belum dibincang secara mendalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan