Sabtu, 25 September 2021

Sektor pendidikan di negeri beralih fasa PPN dibuka selepas 2 minggu

 MALAYSIA NOW

KPM berkata Johor yang beralih ke Fasa Dua PPN akan memulakan operasi sektor pendidikannya pada 10 Oktober depan.

Kementerian pendidikan (KPM) hari ini berkata operasi institusi pendidikan di negeri yang beralih fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan dilaksanakan selepas dua minggu tarikh peralihan tersebut.

Justeru itu, institusi pendidikan di bawah KPM bagi Johor akan bermula pada 10 Oktober depan selepas ia beralih ke Fasa Dua PPN.

“Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Pahang pula kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa Dua PPN.

“Memandangkan negeri Pahang akan beralih ke Fasa Tiga pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri Pahang akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN bermula pada 11 Oktober 2021,” kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk murid kelas Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa Satu akan hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

Sehubungan itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid tersebut. Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagaimanapun, bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa pada 24 September 2021, akan kekal membuka operasi berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti yang diumumkan KPM sebelum ini.

12 September lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah di seluruh negara akan dilaksanakan berdasarkan fasa-fasa yang ditetapkan di bawah PPN dengan sistem giliran di mana pelajar bagi setiap kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjalani sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober depan.

Bagaimanapun, Radzi menjelaskan tiada sekolah akan dibuka di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan PPN.

Tiada ulasan: