Isnin, 27 September 2021

JAIS akan serah nama individu tolak vaksin kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyerahkan senarai nama guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang menolak vaksin COVID-19 kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj minggu ini.

Turut akan diserahkan senarai nama ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau serta Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata beberapa tindakan juga akan turut diusulkan kepada baginda.

"Saya akan laporkan pada Tuanku dalam minggu ini, nanti saya maklumkan hasil perbincangannya.

"Saya juga akan usulkan beberapa tindakan dan ia adalah usul yang positif kerana kita bukan mahu menghukum sebaliknya kita mahu mereka ambil vaksin.

"Kalau nak hukum, saya sudah keluarkan surat tapi kita pujuk mereka dan kalau mereka tidak mahu (berkeras untuk menolak vaksin) baru kita teruskan (tindakan)," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) Masitah Ab Jalar (Perjalanan Mimpi Yang Terakhir) secara terbuka hari ini di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Terdahulu pada 22 September lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 guru KAFA, AJK masjid dan jurunikah di negeri ini hadir pada sesi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner JAIS.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda dilaporkan lebih dukacita apabila 96 daripada 203 yang hadir menolak untuk divaksin.

Tiada ulasan: