Manfaat kepada 400,000 rakyat sepanjang tempoh berkenaan
BANGI – Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina kira-kira
80,000 unit kediaman yang akan memanfaatkan kira-kira 400,000 rakyat
sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kata Menterinya
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Memperincikan perancangan tersebut, Reezal Merican berkata 16,011
unit rumah adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR); 39,192 unit rumah
(Perumahan Penjawat Awam); 10,256 unit rumah (Perumahan PR1MA) dan
15,000 unit Rumah Mesra Rakyat.
Beliau berkata KPKT selaku pihak yang bertanggungjawab kepada hal
ehwal perumahan di negara ini sentiasa memastikan agenda perumahan untuk
rakyat diberi keutamaan dalam setiap hala tuju strategik negara seperti
Belanjawan tahunan mahupun setiap kali RMK dibentangkan.
“Agenda perumahan adalah isu akar, isu pokok yang menjadi nadi kepada
setiap rakyat Malaysia, setiap Keluarga Malaysia,” katanya ketika
majlis pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia di KPKT, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob disusuli majlis penyerahan kunci kepada kumpulan pertama
yang terdiri daripada 100 penerima Rumah Ikram Keluarga Malaysia secara
fizikal dan dalam talian.
Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia menggunakan kediaman PPR
sedia ada yang dikhususkan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat
pandemik COVID-19, dengan menawarkan kadar sewa minimum RM124 sebulan
bagi tempoh mendiami maksimum dua tahun.
Sebanyak 1,000 unit kediaman di kawasan PPR yang berada di bawah
kawalan dan pengurusan KPKT meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Kedah,
Kelantan dan Johor disediakan buat permulaan bagi inisiatif Rumah Ikram
Keluarga Malaysia itu.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan pendekatan penampan terhadap
kesan penularan COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas.
Reezal Merican berkata KPKT akan mencadangkan kepada pihak berkuasa
negeri untuk menjalankan inisiatif tersebut di negeri masing-masing.
“Kita telah menerima begitu banyak permohonan, tidak kurang juga panggilan yang bertanyakan tentang inisiatif ini,” katanya yang menyatakan inisiatif itu menjadi pemacu kepada KPKT untuk membantu rakyat yang terkesan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan