KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak bercadang untuk mengehadkan bilangan individu yang dibenarkan berkumpul bagi meraikan sambutan Krismas di negeri ini, minggu depan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata bagaimanapun orang ramai seharusnya berpada-pada dan mengambil berat pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
" Kita perlu berpada-pada menyambut perayaan, bukan saja Krismas, malah sambutan Tahun Baharu yang tidak lama lagi.
"Kita tidak mahu kerana kegembiraan selama 15 minit dapat berkumpul ramai-ramai menjadi 15 hari keperitan dijangkiti COVID-19," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.
Masidi berkata, kerajaan pada dasarnya mempersetujui cadangan SOP berhubung sambutan Krismas menerusi Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin lalu.
Perincian lengkap SOP itu katanya, akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat menerusi laman sesawang rasmi MKN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan