PUTRAJAYA: Meskipun Skim Pembiayaan Informal (Spin) baru diperkenalkan bulan lalu di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional, ia telah pun membantu 842 usahawan mikro sektor informal seluruh negara.
Malahan, dengan peruntukan RM50 juta, agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menyasarkan untuk biayai 10,000 peniaga tidak formal dalam masa terdekat.
Inisiatif Spin itu bakal menyantuni usahawan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sebenarnya Spin sudah bantu ratusan peniaga informal dengan jumlah dana RM6.1 juta,” kata Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada pelancaran Spin yang juga dihadiri Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Abd. Ghani.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, langkah diambil agensi itu bagi menggalakkan peniaga tidak formal dapat mendaftarkan perniagaan dan memudahkan proses pembiayaan dibuat.
“Mereka ini sebenarnya enggan daftar dengan SSM kerana bimbang jika tulis jawatan sebagai pengarah syarikat, maka ditakuti tidak layak dapat bantuan khas diberikan kerajaan,” jelasnya.
Justeru, beliau telah mengarahkan pegawai kementeriannya mengemukakan kertas terperinci untuk dibawa kepada Kabinet agar golongan ini tetap dibantu kerana masih dianggap B40.
Ini kerana beliau sedar, ada persepsi negatif timbul untuk peniaga kecil berdaftar dengan SSM dan merekodkan jawatan sebagai pengarah atau pemilik, konon tidak dapat bantuan kerajaan.
“Dianggarkan ada hampir dua juta peniaga informal yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan saya berharap, Spin menolong kelompok ini meneruskan perniagaan,” kata Wan Junaidi.
Apatah lagi ujarnya, nilai pembiayaan ditawarkan untuk pinjaman daripada RM1,000 hingga RM5,000 dengan tempoh bayaran balik 36 bulan dan kadar keuntungan 4 peratus setahun.
Ditanya bagaimana pihak TEKUN Nasional boleh mengenal pasti usahawan mikro itu bagi mengelak penipuan, beliau berkata, agensi tersebut ada caranya tersendiri untuk menyiasat.
“Apabila peniaga informal ini memohon, mereka akan semak butiran daripada kad pengenalan secara bersilang pelbagai agensi lain dan turun padang ke tempat peniaga ini,” katanya.
Sejarah rekod transaksi bank atau garis masa dalam media sosial bagi peniaga atas talian, turut dijadikan rujukan bagi memeriksa kesahihan usahawan itu sebelum permohonan dilulus.
Bahkan Wan Junaidi memberi jaminan, tempoh kelulusan dipercepatkan cuma tujuh hari bagi peniaga baharu atau lima hari jika sudah ada rekod berbanding sebelum itu hampir dua bulan. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan