DEWAN Ulamak PAS Negeri Kedah menyeru kepada YAB
Menteri Besar Kedah Tuan Haji Sanusi Muhammad Nor supaya meneruskan
bahtera perjuangan, terus maju ke hadapan tanpa menghirau halangan serta
cabaran yang sedang dan akan dilakukan oleh musuh kepadanya.
Satu demi satu tuduhan dan tohmahan dilemparkan kepada YAB. Anggaplah ini semua sebagai kemucut yang mengganggu perjalanan gerak kerja Islam.
Al-Quran telah pun menyebut:
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ.
“Dan Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.”
(al-Baqarah: 120)
Ibnu Jarir mengatakan: “Ertinya, ‘Hai Muhammad, orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah rela kepadamu selamanya, kerana itu tidak usah lagi kau cari hal yang dapat menjadikan mereka rela dan sejalan dengan mereka. Akan tetapi arahkan perhatianmu untuk mencapai redha Allah Ta’ala dengan mengajak mereka kepada kebenaran yang kamu diutus dengannya.”
Keberanian YAB MB perlu dipuji kerana berani menyatakan sesuatu yang hak adalah wajib walaupun ianya sangat pahit. Sebagai contoh, pencerobohan kuil dan permohonan kaum India untuk membina kuil tidak dapat diluluskan dekkerana tiada peruntukan di dalam Perlembagaan untuk membenarkan tujuan berkenaan. Hal ini sangat berbeza dengan agama Islam kerana Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
Walaupun begitu, bukan bermakna agama dan bangsa lain disisihkan. Terlalu banyak peruntukan yang diberikan kepada semua bangsa lain contohnya dalam Sidang DUN Kedah (Bajet Kedah 2021) baru-baru ini. Merujuk kepada soalan daripada ADUN Bukit Selambau berkaitan jumlah permohonan kebajikan E-Kasih, ibu tunggal dan MySalam kepada masyarakat India bagi Daerah Kuala Muda sahaja ialah sebanyak RM5 juta. Malah YAB Menteri Besar baru-baru ini telah meluluskan sumbangan kepada 1,000 penerima daripada kaum India sempena Deepavali. Begitulah juga, sumbangan kepada tiga sekolah persendirian Cina sebanyak RM300,000.
Amatlah, tidak adil jika mengatakan YAB Menteri Besar perlu meletak jawatan kerana tidak dapat memimpin masyarakat majmuk ini. Islam itu adil untuk semua. Adil itu bukan bermaksud sama rata dan sama banyak tetapi adil adalah meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.
Sudah terlalu banyak umat Islam bertolak ansur. Perihal rumah ibadah agama lain yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan sedangkan penduduk di situ adalah golongan minoriti penganut agama tersebut.
Tercatat di dalam sejarah bahawa tidak ada ajaran yang lain dapat menandingi Islam dalam memelihara hak-hak kemanusiaan. Allah S.W.T menjelaskan di dalam surah Al-Hajj ayat 40 bahawa jika bukan Dia yang menolak keganasan sudah tentu rumah-rumah ibadat telah dirobohkan:
وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ
بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَٰتٌ
وَمَسَٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ
ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ
“Dan
sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan
sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani,
gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang
di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong
orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha
Kuat lagi Maha Perkasa.”
Saidina Umar R.A pernah menulis kepada penduduk Baitul Maqdis mengenai kebebasan beragama dan keselamatan gereja mereka, Khalid Al-Walid kepada penduduk Damsyik, Syurahbil bin Hasanah kepada penduduk Tabariah dan begitu seterusnya sehingga hari ini perkembangan Islam telah menjamin kebebasan beragama dan rumah ibadat bukan-Islam.
Sebaliknya sejarah telah mencatatkan bahawa umat Islam paling banyak menghadapi isu perobohan masjid yang berlaku di tempat minoriti Muslim di seluruh dunia. Isu Masjid Babri yang menjadi sejarah hitam umat Islam India, begitu juga isu Baitul Maqdis sehingga sekarang masih belum selesai. Kita juga tidak lupa dengan penderitaan sahabat kita di Arakan yang dibunuh dan dihalau daripada kampung halaman mereka. Sepatutnya mereka bersyukur di atas nikmat berada di bawah pemerintahan Islam. Islam mengajar kita untuk berlaku adil kepada semua bangsa dan agama.
Pihak kami memberi amaran keras kepada veteran dan penasihat DAP Lim Kit Siang supaya jangan melanggari lampu isyarat. Kami umat Islam ada batasnya. Lembut bukan untuk dipijak, tegas bukan bererti sombong.
Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah selari dengan Badan Perhubungan PAS Kedah memberi sokongan penuh atas gesaan YAB Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor supaya Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP membayar kepada Kerajaan Negeri Kedah sebanyak RM50 juta setahun ke atas setiap penggunaan sumber air sebanyak 1,100 juta liter sehari (MLD) berbanding penggunaan Negeri Kedah hanya sebanyak 800 juta liter sehari.
Akhirnya, kita menilai YAB Menteri Besar Kedah bagai seorang pemain bola sepak yang digeruni lawan sehingga dikepung kiri dan kanan kerana keupayaannya menjaringkan gol. Kami mengucapkan ‘Siru Ala Barakatillah’ dan kami doakan semoga YAB Menteri Besar serta barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah terus maju kehadapan. Sesungguhya hentaman dan tohmahan itu semua adalah petanda kerajaan kita berada pada landasan yang betul.
(*) SYEIKH MOHAMAD RODI ABDUL RAHMAN-Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah– HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan