Oleh Syaherah Mustafa
Nazita Hamat, 48, menunjukkan antara jenis ikan darat yang dijual di gerainya di Jalan Lubok Jong, Pasir Mas. - Foto Syaherah Mustafa
PASIR MAS: Tidak dapat menoreh sepanjang musim tengkujuh bukan penghalang buat Nazita Hamat untuk mencari rezeki dengan menjual 'ikan darat' atau ikan air tawar hingga 300 kilogram (kg) sehari.
Nazita, 48, yang berniaga ikan terbabit setiap kali musim tengkujuh sejak lebih 10 tahun lalu, sudah cukup dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai tauke ikan darat, di Jalan Lubok Jong, di sini.
Bapa kepada lapan cahaya mata itu turut dibantu isteri, Siti Noor Hanafi, 46, kerana tidak menang tangan melayan pelanggan yang setiap hari memenuhi gerainya untuk mendapatkan pelbagai jenis ikan darat.
"Saya membuka gerai ini bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, dengan menjual pelbagai jenis ikan darat termasuk baung, patin, pepuyu, tenggala, selat dan haruan yang diperoleh daripada pembekal yang juga penduduk kampung sekitar.
"Ikan darat dijual bermula RM10 hingga RM80 sekilogram bergantung kepada jenis ikan, malah kami juga menawarkan khidmat menyiang ikan secara percuma memandangkan ramai antara pelanggan yang tidak tahu menyiang ikan ini kerana prosesnya yang agak rumit.
"Selain itu, saya mengamalkan perniagaan menjual sambil menderma yang mana ada beberapa jenis ikan yang saya bagi percuma saja pada pelanggan terutama spesies yang sukar didapati, asalkan pelanggan benar-benar mahukannya," katanya yang tinggal di Kampung Serongga, di sini.
Nazita berkata, dia mendapatkan bekalan ikan darat daripada hampir 50 pembekal iaitu penduduk kampung yang memukat atau mencari ikan berkenaan untuknya setiap tahun.
"Menjual ikan darat ini adalah kerja hakiki saya setiap kali hujung tahun, malah saya sendiri teruja bila musim tengkujuh tiba kerana hasilnya yang agak lumayan walaupun terpaksa bergelumang dengan bau hanyir setiap masa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan