Rabu, 16 Disember 2020

Pusat hiburan diberi kata dua

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

PUTRAJAYA: Trend jumlah tangkapan akibat perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) di pusat hiburan semakin meningkat setiap hari dengan tangkapan tertinggi sebanyak 292 kes direkodkan pada 12 Disember lalu. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kerajaan sentiasa memberi peringatan bahawa premis berkenaan tidak boleh beroperasi, namun pengusaha pusat itu didapati masih berdegil.

Justeru, kata beliau,  pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk  bertegas dan tidak lagi bertolak ansur sama ada menarik semula lesen premis terbabit sekali gus menghentikan operasi  mereka untuk selama-lamanya jika masih tidak mengendahkan arahan tersebut.

“Arahan kerajaan amat jelas untuk tidak membenarkan  kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa  ini dan masih di bawah senarai terlarang, namun tangkapan dalam pusat hiburan  berlaku hampir setiap hari walaupun sudah ada makluman dikeluarkan.  

“Kita semua bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengekang  dan seterusnya memutuskan rantaian penularan Covid-19, maka kerana itulah setiap arahan dan peraturan yang dikeluarkan mesti dipatuhi,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, semalam, polis menahan 201 individu atas  kesalahan ingkar arahan SOP dan kesemuanya dikenakan kompaun. 

Katanya, antara kesalahan itu ialah gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (87), tidak memakai pelitup muka (73), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (28) dan lain-lain (13). 

“Semalam, sebanyak 39,415 pemeriksaan dilakukan melalui  sebanyak 2,947 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan terdiri daripada 13,049 anggota,” katanya.

Ismail Sabri turut menjelaskan, masih terdapat kekeliruan berhubung SOP pemakaian  pelitup muka sebagaimana tular di media sosial apabila seorang  individu dikompaun ketika sedang berada berseorangan di  taman awam yang kosong. 

Dalam kes tersebut, kata beliau, individu tersebut tidak sepatutnya dikompaun kerana pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di tempat  awam yang sesak. 

“Jika kita bersendirian atau ada penjarakan sosial, terdapat kelonggaran untuk tidak memakai pelitup muka seperti  ketika makan di kedai makan,” katanya. 

Mengenai Operasi Benteng, menurut Ismail Sabri, anggota penguat kuasa berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam  operasi yang diadakan di seluruh negara selain melakukan 135 sekatan jalan raya (SJR). -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: