Sekurang-kurangnya dua hospital kerajaan di Selangor mewajibkan ujian Covid-19 bagi sesiapa yang akan dimasukkan ke wad setelah berlaku penularan di kalangan kakitangan dan pesakit, menurut sumber.
Ia menyusuli hospital kerajaan di Sabah yang telah mewajibkan ujian itu setelah penularan wabak pada September lalu.
Malaysiakini difahamkan walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan garis panduan ujian Covid-19 bagi pemindahan hospital dan beberapa rawatan tertentu, prosedur operasi standard (SOP) untuk kemasukan wad yang lain di setiap hospital berbeza.
Di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, di mana lebih 50 kakitangan dan pesakit dijangkiti Covid-19 sejak tiga minggu lalu, ujian prakemasukan mandatori bermula minggu lalu.
Sebelum itu, hospital menyaring pesakit menerusi soal jawab, dan hanya mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi atau menunjukkan gejala menjalani ujian.
Hal ini dinyatakan sumber dalaman KKM yang enggan mendedahkan namanya, memandangkan penjawat awam tidak boleh bercakap dengan media tanpa kebenaran.
Mereka yang dipindah dari hospital lain atau mahu menjalani prosedur rawatan tertentu perlu menjalani ujian Covid-19, tetapi kebanyakan pesakit dimasukkan ke wad tanpa melalui proses itu.
Ia termasuklah mereka yang dimasukkan ke wad selepas dirawat di unit kecemasan, menurut sumber.
'Kakitangan buat yang terbaik, tapi...'
Prosedur kemasukan di HTAR ditukar minggu lalu susulan penularan Covid-19. Semua pesakit kini perlu sekurang-kurangnya menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK) Antigen sebelum dimasukkan, menurut sumber yang tahu berkenaan garis panduan baru tersebut kepada Malaysiakini.
Ujian RTK Antigen memberi keputusan dalam waktu yang singkat - biasanya kurang sejam - tetapi ia kurang sensitif dan lebih cenderung memberikan keputusan negatif yang salah, terutama jika virus masih dalam tempoh pengeraman.
Ini bermakna pesakit yang dijangkiti wabak mungkin mendapat ujian negatif, sebelum menunjukkan gejala dan didapati positif setelah dimasukkan dalam wad.
Ujian Polymerase chain reaction (PCR) dianggap sebagai ujian piawai dari aspek sensitiviti dan ketepatan tetapi ia memerlukan penggunaan makmal dan mengambil masa.
Bagi hospital seperti HTAR yang memiliki lebih 1,000 katil, pelaksanaan ujian PCR kepada semua pesakit akan menambah lagi beban kepada makmal hospital.
Difahamkan ujian Covid-19 tidak dilakukan kepada semua pesakit yang dimasukkan ke wad ekoran kekurangan sumber, terutama di makmal.
"Saya fikir kakitangan makmal benar-benar terbeban untuk memproses ujian ini. Semua kakitangan di lapangan sedang melakukan yang terbaik, tetapi kita memerlukan lebih banyak sumber," kata seorang sumber di hospital itu.
Sementara itu, sumber di Hospital Serdang berkata pihak hospital kini "bergegas" untuk mewajibkan ujian prakemasukan selepas lebih sepuluh kes dikesan di kalangan kakitangan dan pesakit sejak dua minggu lalu.
Sebelum ini, hospital itu juga hanya melakukan ujian terhadap kalangan berisiko tinggi dan menunjukkan gejala.
Ia berbeza dengan hospital kerajaan di Sabah yang mewajibkan ujian kepada semua pesakit. Mereka akan menjalani ujian RTK Antigen sebaik selepas kemasukan dan mereka yang didapati positif akan terus dipindahkan ke wad atau hospital Covid-19.
Mereka yang negatif akan terus menjalani ujian PCR. Jika keputusannya negatif, mereka akan dihantar ke wad atau hospital Covid-19, kata sumber yang tahu berkenaan prosedur itu kepada Malaysiakini.
Di Sabah, ujian PCR memakan masa 12 hingga 24 jam.
'Penjaga bawa virus'
Bagaimanapun, tetap berlaku penularan di wad hospital melalui penjaga yang menemani pesakit, kata sumber.
Hospital biasanya membenarkan penjaga bermalam di hospital kerana ia dapat meringankan beban jururawat.
Namun difahamkan mereka tidak menjalani ujian Covid-19 sebelum dibenarkan berada di wad.
Susulan sejumlah penularan melibatkan penjaga, difahamkan beberapa hospital melakukan ujian PCR kepada mereka sebelum dibenarkan menjaga pesakit di wad.
Penularan Covid-19 di Sabah meningkat pada September lalu susulan pilihan raya negeri, bagaimanapun kes di sana kini telah menurun.
Sejak dua minggu lalu, sebanyak 4,246 kes baru dilaporkan di Sabah, manakala di Selangor 7,363 kes.
Sepanjang tempoh itu, daerah Klang - di mana terletaknya HTAR - mencatatkan kes baru tertinggi dengan 3,482 kes manakala Sepang - lokasi Hospital Serdang - mencatatkan 164 kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan