Rabu, 16 Disember 2020

Pengawal peribadi tembak mati majikan, dua lagi di Pulau Pinang dihukum gantung

 

GEORGE TOWN: Seorang pengawal peribadi berusia 41 tahun yang menembak mati majikannya serta dua lain di tengah sebuah lebuh raya sibuk di sini, empat tahun lalu, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Ja’afar Halid dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh majikannya, Ong Teik Kwon, 32, penghibur Choi Hon Ming, 32, dan penjual bunga, Senthil Murugaiah, 38.

Dia turut dipenjara 15 tahun kerana cuba membunuh Dr Arivarni Kershnian, 33, pekerja kilang Lee Hong Boon, 32, jurukamera RTM Mohamad Amirul Amin Mohamed Amir, 28, dan pegawai bank Poh Bee Joo, 32.

Ja’afar dituduh melakukan kesalahan itu di Jambatan Pulau Pinang (arah selatan) di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, antara jam 7.15 hingga 7.30 malam pada 1 Disember 2016.

Beliau di dakwa mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan bagi tuduhan bunuh dan cubaan bunuh yang masing-masing membawa hukuman mati serta penjara seumur hidup.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Abdul Wahab Mohamed berkata, pembelaan gagal membuktikan tertuduh tidak waras atau di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

Katanya, pendakwaan pula berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa tertuduh sengaja melakukan kesalahan itu.

Sementara itu, peguam bela Anbananthan Yathiraju yang ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Ini kerana pihaknya yakin cukup bukti untuk membuktikan tertuduh tidak waras mengikut definisi perubatan serta undang-undang.

Kejadian pada 2016 di lebuh raya di Pulau Pinang itu antara kes jenayah yang masih menjadi perbualan orang ramai di negeri itu.

Polis berkata, Ja’afar bersama majikannya dalam kereta BMW sebelum menembak matinya.

Tertuduh kemudian dilaporkan turun dari kereta dan terus melepaskan tembakan yang membunuh dua individu serta mencederakan lima yang lain.

Susulan kejadian itu, laluan sepanjang 1km Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ditutup selama enam jam untuk membolehkan polis mencari bahan bukti.

Perarakan pengebumian majikan Ja’afar yang digelar mesra sebagai ‘Datuk M’ (‘M’ bermaksud muda) diadakan besar-besaran menyebabkan laluan utama di negeri itu ditutup kepada lalu lintas selama beberapa jam.

Ketika perbicaraan pada 2018, mahkamah dikemukakan dokumen menunjukkan Ja’afar pernah bertugas sebagai pengawal peribadi untuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (2008-2009) dan Nurul Izzah Anwar (2009-2010).

Tiada ulasan: