PENGUMUMAN penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan dan Putrajaya adalah sesuatu diharapkan semua termasuk mereka yang terbabit dalam industri pelancongan.
Lebih melegakan, pengumuman kebenaran merentas daerah dan negeri antara kawasan PKPB dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang turut bermula hari ini.
Perkembangan terbaru ini pastinya mendapat reaksi positif daripada rakyat, terutama mereka yang lama mengimpikan peluang untuk bercuti atau melawat keluarga di kampung.
Dijangkakan kelonggaran yang diberikan, terutama kebenaran merentas daerah dan negeri ini dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi termasuk dalam industri pelancongan.
Ini kerana penguatkuasaan PKPB di beberapa negeri sejak Oktober lalu sedikit sebanyak merencatkan perkembangan industri pelancongan domestik berikutan peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 dalam gelombang ketiga penularannya di negara ini.
Malah, sejak awal tahun perancangan dan landskap sektor pelancongan berubah akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Kajian yang dijalankan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia yang disertai 12,281 responden semasa PKP pertama kali dikuatkuasakan pada Jun lalu menunjukkan 65.1 peratus sudah melancong di dalam negara, manakala 75.3 peratus pula menyatakan mereka melancong lebih daripada sekali.
Menurut kajian sama, Pahang menjadi negeri yang dilawati lebih daripada sekali, diikuti Melaka dan Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, rakyat tetap diharapkan tidak mengambil mudah dan bersikap sambil lewa arahan kerajaan supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Harus diingat, angka jangkitan COVID-19 ini masih lagi tinggi, sekali gus bermakna risiko jangkitan di kawasan tertentu masih ada.
Jadilah rakyat yang bertanggungjawab untuk sentiasa peka dengan kesihatan diri dan keadaan sekeliling.
Sementara itu, premis perniagaan berkaitan pelancongan seperti hotel, pusat peranginan, inap desa, restoran dan pusat rekreasi hendaklah bersedia menerima tetamu dengan persediaan sewajarnya.
Pandemik COVID-19 ini akan terus bersama dengan kita dalam tempoh masa tidak dapat dijangkakan.
Justeru, masyarakat termasuk pemain dalam industri pelancongan dan rakyat perlu bersama untuk membantu kerajaan mewujudkan keseimbangan antara menjaga kesihatan awam dan kesan terhadap ekonomi.
Kita perlu kekal berdisiplin mengamalkan norma baharu dalam menjalankan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan buat individu, keluarga dan masyarakat terjamin.
( * ) Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan