Harits Asyraf Hasnan
Krisis
politik yang berterusan dilihat akan melemahkan ekonomi negara terutama
ketika proses pemulihan susulan impak COVID-19. - Foto Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Krisis politik yang berterusan dilihat akan melemahkan ekonomi negara
terutama ketika proses pemulihan susulan impak pandemik COVID-19.
Pensyarah
Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis
berkata beberapa negara jiran secara komited mengetepikan krisis politik
dan memfokuskan kepada pemulihan ekonomi.
"Jelas menunjukkan bahawa kalau berterusan berpolitik begini, ia akan secara perlahan melemahkan negara dan politik kita.
"Sudah
tentu apabila kita lihat perkara ini dalam konteks yang makro, kita
akan bakal lebih ketinggalan daripada negara-negara jiran kita yang
sekarang ini lebih agresif melupakan hal politik.
"Sebaliknya
mereka (negara luar) memikirkan kepentingan negara untuk terus maju dan
terus keluar daripada kemelut COVID-19 dan kemuraman ekonomi disebabkan
pandemik itu dengan lebih cepat dan pantas," katanya kepada Astro AWANI.
Jelasnya,
jika krisis politik berterusan berlaku, Malaysia akan ketinggalan dan
gagal menjadi negara maju atau sekurang-kurangnya dihormati di peringkat
Asia.
Beliau berkata demikian sebagai
reaksi pasca sidang media bersama oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr
Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah
hari ini.
Dua negarawan tanah air itu
memohon Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menolak Bacaan Kali Ketiga Rang
Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang dijadualkan esok.
Sementara
itu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid
menjangkakan kedua-dua veteran politik itu mahu proses pengundian RUU
itu tidak dibuat berlandaskan keputusan parti.
"Saya
kira apa yang dinyatakan Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh itu lebih
menunjukkan bagaimana kematangan politik mereka memahami rencam politik
semasa.
"Dalam konteks semasa ini kita
lihat, kebanyakan majoriti parti yang paling besar dalam konteks di
Parlimen Malaysia mungkin mempunyai lebih kurang 40 hingga 50 buah
kerusi sahaja.
"Jadi ini sangat-sangat
tidak mencukupi, jadi dari segi peruntukan Perlembagaan, parti-parti ini
memerlukan kerjasama parti lain.
"Apa-apa
berlaku kepada Parlimen esok hari, tidak semestinya pengundian itu
mesti mengikut parti kerana kita tahu, sedia maklum bahawa perpecahan
dalam parti seperti UMNO ada yang menyokong dan tidak menyokong parti
pemerintah ketika ini," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan