Khamis, 3 Disember 2020

Keputusan umat Islam boleh guna vaksin COVID-19 esok

PUTRAJAYA: Keputusan penggunaan vaksin COVID-19 dari luar negara untuk umat Islam di negara ini akan diketahui esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, berkata perkara itu dibincangkan hari ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas ke-10 Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Katanya, ahli mesyuarat itu turut mendengar taklimat berkenaan vaksin COVID-19 oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil semua pandangan daripada Ahli Jawatankuasa Muzakarah dan Kementerian Kesihatan sebelum membuat keputusan itu.

"Kita akan menilai dari segi agama untuk membuat keputusan dan hujah-hujah mengenai keputusan berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada pegawai penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Yang turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah danTimbalannya, Jamali Mohd Adnan.

Pada majlis itu, seramai 52 pegawai menerima surat pelantikan untuk ditempatkan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Semalam, media melaporkan, Kementerian Kesihatan akan memantau penggunaan vaksin dibangunkan syarikat gergasi farmaseutikal, Pfizer dan BioNTech, di Britain seawal minggu depan.

Ia susulan pengumuman kerajaan negara itu menerima cadangan Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) untuk meluluskan vaksin COVID-19 Pfizer-BioTech.

Zulkifli berkata, bagi Wilayah Persekutuan, keputusan muzakarah itu akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan.

Katanya, bagi negeri-negeri lain, keputusan akan ditentukan oleh Sultan yang juga ketua agama di negeri masing -masing.

"Saya akur dan bersetuju dengan segala keputusan dan pandangan Majlis Muzakarah Khas atas apa juga keputusan yang diambil.

"Ia bagi mengelakkan berlaku dua fatwa membabitkan umat Islam di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: