PETALING JAYA: Gopoh dalam usaha mengeluarkan lebih banyak pemegang ijazah pada 1990-an dengan menubuhkan terlalu banyak universiti swasta menyebabkan kualiti graduan kini lemah dan peningkatan bilangan penganggur, kata bekas menteri pendidikan Maszlee Malik.
Menggesa supaya solusi baru dicari bagi mengatasi masalah yang dihadapi institusi pendidikan tinggi negara hari ini, beliau mengingatkan pihak berkuasa bahawa mereka masih bergantung pada kaedah yang digunakan 20 tahun lalu, yang merupakan punca sebenar masalah.
Memetik laporan sulit Bank Negara Malaysia, Maszlee berkata jumlah pengangguran paling tinggi melibatkan golongan Bumiputera yang mendapat pendidikan university.
Bagi kaum lain, ramai penganggur adalah dalam kalangan mereka yang tidak melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Kita masih gunakan solusi dari tahun 1990-an, pada waktu semua masalah ini tercetus, untuk keadaan kita sekarang,” katanya pada persidangan dalam talian mengenai pendidikan tinggi Malaysia, hari ini.
“Kita buat banyak universiti swasta hanya untuk menghasilkan lebih banyak graduan tanpa melihat kesan dasar itu.”
Katanya, ia menimbulkan banyak masalah melibatkan pembayaran semula pinjaman kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kualiti graduan dan pengangguran.
Maszlee menambah, solusi baru amat diperlukan sekarang, terutama dengan fokus kerajaan kepada Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan situasi semasa pandemik Covid-19.
Katanya, ini mungkin melibatkan tindakan membawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) ke arus perdana bagi membantu meringankan beban universiti dan melahirkan lebih ramai graduan mahir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan