Khamis, 10 Disember 2020

Covid-19 di Melaka terkawal, denggi makin meningkat

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
RAHMAD Mariman (kanan) ketika menjawab soalan berkaitan wabak denggi di negeri ini sempena Persidangan Ketiga Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD

MELAKA: Di sebalik kebimbangan masyarakat terhadap penularan kes Covid-19 yang masih tinggi, penyebaran kes denggi di negeri ini pula meningkat sebanyak 34.85 peratus atau 2,720 kes bagi tempoh 1 Januari hingga Sabtu lalu.

Angka itu merekodkan kenaikan sebanyak 703 kes berbanding 2,017 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Jika kes kematian akibat Covid-19 hanya mencatatkan lima kes sehingga kini, sebanyak lapan kes kematian berpunca dari denggi direkodkan sepanjang tempoh tersebut iaitu empat kes di Daerah Melaka Tengah dan dua kes masing-masing di Daerah Jasin dan Alor Gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, data terkini situasi denggi di negeri itu boleh disifatkan sebagai amat membimbangkan apatah lagi wabak terbabit berada dalam komuniti masyarakat dan belum dapat ditangani biarpun sudah hampir 20 tahun.

“Empat kematian berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, DUN Kota Laksamana dan DUN Telok Mas, manakala di Jasin melibatkan DUN Bemban dan DUN Serkam serta di Daerah Alor Gajah pula melibatkan DUN Durian Tunggal dan DUN Tanjung Bidara.

“Selain itu, DUN Bukit Katil mencatatkan kes tertinggi sebanyak 305 kes, diikuti DUN Ayer Keroh 207 Kes dan Paya Rumput 232 kes,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) berkaitan jumlah kes denggi yang berlaku di negeri ini pada Persidangan Ketiga Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad (BN-Ayer Molek) berkata, pelbagai kaedah dan usaha dilakukan kerajaan negeri bagi menangani penularan kes denggi termasuk kajian kawalan teknologi pencegahan denggi yang menggunakan sinaran gamma untuk memandulkan nyamuk jantan Aedes telah dilakukan dan lokasi awal kajian adalah di Pangsapuri Kota Lakasmana.

“Pangsapuri Kota Laksamana adalah lokasi awal kajian yang dilepaskan nyamuk mandul itu dan sehingga kini tiada kes demam denggi dilaporkan dalam kawasan lokaliti kajian itu. Bagaimanapun kos bagi kajian tersebut amat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Rahmad berkata, sebanyak 43 kes chikungunya juga dilaporkan di negeri ini dengan 39 kes di Daerah Melaka Tengah dan masing-masing dua kes di Daerah Jasin dan Alor Gajah manakala virus zika belum ada kes dilaporkan.

Terdahulu, dalam perkembangan lain, Rahmad ketika ditemui berkata, seramai 40 bayi bertuah yang lahir di negeri Melaka semalam, layak menerima pemberian khas berbentuk dana akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM150 seorang seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Bayaran secara one-off untuk bayi yang lahir daripada 12.01 pagi hingga 11.59 malam semalam di seluruh negeri meliputi mereka yang lahir di hospital kerajaan atau hospital swasta. 

“Daripada jumlah itu, seramai 31 bayi dilahirkan di Hospital Melaka, seorang di Hospital Kem Terendak, Sungai Udang dan selebihnya di hospital-hospital swasta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: