Pelihara tanah dari terus dirobek dan dijarah petualang bangsa
BANGI – Pemuda gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyelesaikan kemelut pencerobohan tanah di negeri Pahang.
“Kita dengan rendah hati memohon bagi menyelidik, menyiasat, mengenal pasti dan mengenakan tindakan tegas dan telus dalam kes pencerobohan tanah haram di Pahang.
“Hasil risikan sahabat seperjuangan kami di Pahang, sebenarnya banyak lagi tanah haram yang diteroka. Mengejutkan mungkin mencecah puluhan atau ratusan ribu ekar. Sedangkan yang sedang didakwa di mahkamah tinggi itu pun sudah menjangkau 4,400 ekar tanah haram.
“Namun kami sangat kecewa kerana kes tanah haram seteruk ini, penceroboh masih boleh berunding dan dibicarakan di mahkamah,” kata Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Mohd Soufi Anual dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau bersama-sama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Sekretariat Veteran Tentera Bertindak menyerahkan dua memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan berhubung kes pencerobohan tanah di negeri Pahang.
Penyerahan memorandum itu juga memohon supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan memastikan ketelusan dalam kes-kes pencerobohan di seluruh negeri berkenaan.
Memorandum diserahkan oleh Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat bersama wakil veteran tentera, Azizan Salleh dan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah kepada pegawai Istana Negara, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Mohd Soufi menegaskan bahawa penceroboh seharusnya dikenakan hukuman atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan.
“Perlu diingatkan di sini, mereka ini telah menceroboh tanah kerajaan. Sudah pasti kesalahan atas mereka si penceroboh. Halau keluar terus! Hukum sahaja, apa lagi nak ditunggu? Walhal veteran tentera yang meneroka tanah dua ekar di Perak, terus dikenakan denda 2 tahun penjara dan RM50,000.
“Di mana keadilan? Tanah ini berkaitan maruah kita sebagai peribumi. Sepatutnya Tanah Rizab Melayu 50 peratus, kini hanya tinggal hampir 10 peratus. Itupun payah sangat nampaknya nak dijaga oleh kerajaan.
“Justeru itu, kami memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyelesaikan kemelut yang melanda. Moga Allah melindungi dan memberikan kekuatan kepada kita untuk mempertahankan maruah dan kesucian tanah merdeka milik kita dari terus dirobek dan dijarah oleh petualang bangsa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan