Jumaat, 11 Disember 2020

Bapa tahan marah temui suspek langgar anaknya

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
ZAITON Ismail (dua dari kanan) menziarahi mangsa langgar lari, Muhammad Israf Izzuddin Arbain yang terlantar sakit sambil diperhatikan oleh bapanya, Arbain Ramli (kanan) di rumahnya di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

PASIR GUDANG: Perasaan seorang bapa berbaur sedih apabila bertemu lelaki yang menjadi punca anaknya terlibat kemalangan langgar lari di Taman Desa Rakyat pada November lalu.

Usaha Arbain Ramli, 48, berjaya menjejaki suspek langgar lari itu selama lebih sebulan berdasarkan hasil maklumat keterangan saksi kejadian terlibat.

Dalam kejadian itu, Muhammad Israf Izzuddin, 19, yang menunggang motosikal dirempuh kereta dipandu lelaki itu yang berlaku pada pukul 12 tengah malam.

Katanya, dia akhirnya dapat bertemu dengan lelaki berkenaan ketika pergi ke rumahnya, Ahad lalu.

“Pada ketika itu, saya merasa sangat marah namun perasan itu saya pendam dan tidak menunjukkan sebarang emosi ketika berjumpa lelaki berusia 30-an itu di rumahnya.

“Lelaki itu berkata dia takut untuk membuat laporan polis kerana tidak mempunyai lesen memandu dan kereta bapanya yang dipandu semasa kejadian itu telah tamat cukai jalan.

“Setelah mendesak lelaki itu dan menceritakan keadaan anak ketika ini, akhirnya dia akur untuk membuat laporan polis di Balai polis Seri Alam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cahaya Masai di sini hari ini.

Arbain berkata, dia turut berasa lega dapat menjejaki lelaki itu kerana sekurang-kurangnya mengetahui perkara sebenar dan membolehkannya mẹmbuat sebarang tuntutan perlindungan bagi menampung kos penjagaan anaknya.

Katanya, anak sulungnya kini mengalami masalah hilang ingatan akibat pendarahan di bahagian kepala dan patah paha kiri di samping hanya mampu baring terlantar di atas katil di ruang tamu rumahnya dan memerlukan penjagaan rapi.

“Sekarang ini dia hanya terlantar, kadang kala kesakitan kerana kejang tangan sehingga tangannya terpaksa diikat kerana agresif.

“Pemandu kereta itu ada datang melihat keadaan Muhammad Israf selepas pulang membuat laporan polis. Dia datang sekejap, lepas itu balik macam itu sahaja dan lagipun tidak ada paksa dia ambil tanggungjawab pun,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Israf menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Zaiton Ismail.

Kerajaan negeri akan membantu pengurusan permohonan kad orang kurang upaya (OKU) buat mangsa serta bantuan penjaga anak OKU terlantar RM300 sebulan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: