Rabu, 2 Disember 2020

7 ahli S4S dilepas, dibebas tuduhan tak hormat Negaraku

Tujuh ahli S4S bergambar di luar mahkamah, selepas dilepas dan dibebaskan kerana 
tidak menghormati lagu Negaraku dalam sebuah majlis kutipan dana tahun lalu. 
(Gambar S4S)

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini melepas dan membebaskan 7 ahli Sarawak For Sarawakian (S4S) yang didakwa enggan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan dalam sebuah majlis tahun lalu.

Majistret Zaiton Annuar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap 7 aktivis berusia 33 hingga 64 tahun itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan, manakala ahli S4S itu diwakili Arthur Lee.

Lee berkata, muzik yang dimainkan daripada saluran YouTube dalam sebuah acara peribadi di Sarawak tahun lalu itu, yang dihadiri anak guamnya, tidak jelas dan mungkin bukan lagu Negaraku.

“Ia tidak dimainkan dengan baik dan anak guam saya tiada kewajipan undang-undang untuk berdiri.

“Ia bukan persoalan hukuman atau denda, tetapi ia berkaitan prinsip dan hak undang-undang anak guam saya,” katanya kepada wartawan di luar mahkamah.

Pada 11 Okt 2019, Alex Leong, Kon Tai Keong, Bong Sak Sin, Andrew Chong, Tan Kok Chiang, Pui Ping Ping dan Phang Ngin Pen mengaku tidak bersalah kerana tidak menghormati lagu Negaraku.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: