Rabu, 9 September 2020

Syarikat kelapa sawit mahu upah bekas penagih, banduan

Agensi
MGF06062020_CHINI-KELAPA-SAWIT31-681x454
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Syarikat-syarikat kelapa sawit di Malaysia merancang untuk mengupah bekas penagih dadah dan banduan untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing disebabkan pintu sempadan ditutup bagi membendung penularan Covid-19.

Penanam-penanam kelapa sawit di Malaysia telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mencari pekerja tempatan di ladang sejak beberapa bulan lalu, namun malangnya respon yang diterima tidak menggalakkan.

Menurut Persatuan Kelapa Sawit Malaysia (MPOA) mereka terpaksa menghubungi Jabatan Kemajuan Orang Asli, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Jabayan Penjara bagi mencari pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Menurut Ketua Eksekutifnya, Datuk Nageeb Wahab, kerjasama dengan Jabatan Penjara untuk merekrut orang kena parol dan banduan di bawah pemantauan telah bermula sejak 2016 di sebuah syarikat berkaitan kerajaan tetapi sekarang, program tersebut telah menarik minat lebih banyak syarikat.

“Kami telah menggunakan semua pilihan yang ada untuk mengupah pekerja tempatan tetapi kami gagal.

“Kami memerlukan kerajaan untuk membantu,” katanya kepada Reuters.

MPOA menjangkakan industri kelapa sawit akan kehilangan hasil sehingga 30 peratus disebabkan oleh masalah buruh dan seterusnya menyebabkan output minyak sawit mentah negara menurun berbanding 19.9 juta tan yang direkodkan tahun lepas.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: