MALAYSIAKINI
Kadar pengangguran terus menurun sejak mencatatkan rekod tertinggi 5.3 peratus pada Mei.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran pada Julai ialah 4.6 peratus, menurun daripada 4.8 peratus bulan sebelumnya.
"Kebanyakan sektor ekonomi mencatatkan peningkatan penduduk bekerja sejak Jun 2020 setelah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.
"Peningkatan ketara adalah dalam sektor perkhidmatan terutamanya aktiviti penginapan, makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.
"Terdapat juga peningkatan kecil dalam aktiviti seni, hiburan dan rekreasi," menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.
Anggaran bilangan individu menganggur pada Julai ialah 745,100 orang, meningkat 42 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.
Jabatan Perangkaan juga menyatakan jumlah individu yang bekerja sendiri terus menurun sejak April.
Kebanyakannya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan; freelancers; serta pekebun kecil, kata jabatan itu lagi.
"Mereka adalah kumpulan yang paling terjejas disebabkan wabak Covid-19," katanya.
Menurut jabatan itu, peluang pekerjaan akan terus meningkat dalam bulan-bulan mendatang, kecuali jika peningkatan kes Covid-19 berlaku.
Ia menjangkakan bekalan tenaga kerja akan terus meningkat dalam separuh kedua tahun dan ia menyebabkan pasaran tenaga kerja menjadi lebih kompetitif bagi pekerjaan tradisional.
"Oleh itu, sebahagian besar peluang pekerjaan baru yang dipacu oleh kemajuan teknologi dan automasi dapat menjadi alternatif kepada graduan baru.
"Secara optimis, kemasukan baru dalam pasaran tenaga kerja yang memanfaatkan peluang sebegini berupaya mewujudkan pekerjaan untuk yang lain," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan