KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang mengesahkan bekas ketua menteri itu akan berdepan 2 pertuduhan baru di Butterworth Jumaat ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi ketika sebutan kes di sini, hari ini.
Katanya, pendakwaan sudah menyerahkan notis kepada Lim mengenai 2 pertuduhan itu di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Wan Shaharuddin memaklumkan mahkamah, pendakwaan akan membuat pindaan terhadap butiran Lim pada kertas pertuduhan, dengan menggantikan bangsanya daripada Melayu kepada Cina dan umurnya daripada 59 tahun kepada 60 tahun.
Hakim kemudiannya meminta timbalan pendakwa raya memfailkan semula pertuduhan itu selepas membuat pindaan.
Wan Shaharuddin berkata, pendakwaan tidak akan memohon ikat jamin tambahan yang dikenakan ke atas Lim pada Jumaat ini kerana ikat jamin RM1 juta sebelum ini akan dilanjutkan untuk pertuduhan baru.
Peguam Gobind Singh Deo mengesahkan pihak pembelaan menerima notis itu hari ini.
Bulan lalu, Lim mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan meminta balasan berupa 10% daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada Mac 2011 sebagai upah membantu syarikat itu dilantik melaksanakan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan.
Lim turut didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan RM3.3 juta dalam rasuah untuk melantik syarikat Zarul bagi projek itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Lim ketika itu di Komtar antara Januari 2011 dan Ogos 2017.
Wan Shaharuddin turut memberitahu mahkamah, 2 laporan polis dibuat terhadap 2 individu atas dakwaan komen sub judice mengenai kes rasuah Lim.
“Bagaimanapun, kami mahu memaklumkan mahkamah, YB Lim dan peguam pembelaan tidak membuat komen yang dikatakan itu.”
Dalam responsnya, Gobind berkata, pihak pembelaan mendapat tahu mengenai pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu melalui laporan berita minggu lalu.
“Bagi pihak pembelaan, saya berharap SPRM tidak akan mengeluarkan maklumat tidak rasmi kepada orang ramai. Sekurang-kurangnya beritahu kami terlebih dahulu.”
Katanya, pembelaan tidak bersetuju dengan permohonan pendakwaan memindahkan kes itu ke sini.
Mahkamah menetapkan 12 Okt ini untuk sebutan semula kes itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan