Jumaat, 4 September 2020

Otai Reformis cadang potong gaji MB setiap kali gangguan air

Otai Reformis mendakwa kerajaan Selangor tidak serius menangani isu gangguan bekalan air di negeri itu yang kekerapannya tidak lagi dapat dikira.

Justeru kumpulan bekas penggerak gerakan reformasi 1998 itu berkata menteri besar, exco dan kepimpinan Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) patut didenda setiap kali masalah berlaku.

Setiausaha Otai Reformasi Abdul Razak Ismail mencadangkan potongan gaji RM10 dibuat terhadap mereka.

“Ini sebagai tanda 'denda' kepada mereka kerana gagal menguruskan air dengan sempurna demi kepentingan warga Selangor,” katanya.

Katanya, sejak PH mengambil alih kerajaan daripada BN, sudah tiga menteri besar bertukar tetapi masalahnya masih sama.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas sejak pagi semalam akibat pencemaran sumber air mentah masih belum beroperasi setakat 6.30 pagi ini.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji-loji berkenaan dan kini berada pada tahap satu (1) TON.

Semalam Luas berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan bersama Air Selangor dan beberapa agensi lain berikutan penutupan beberapa LRA pagi semalam kerana pencemaran.

Menurut Luas dalam satu kenyataan semalam, kilang di Sungai Gong dipercayai menjadi punca gangguan bekalan air yang turut memberi kesan kepada 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Razak juga berkata Luas mempunyai kuasa mengusir kilang-kilang yang mencemarkan sungai sebagai punca bekalan air.

“Kalau Kerajaan Selangor boleh merobohkan perkampungan setinggan di tepi Kg Kedondong di Sg Buloh dan baru-baru ini Kg Desa Perantau di Kampung Melayu Subang untuk tujuan pelebaran dan mendalamkan sungai, maka saya tak nampak Luas tidak mampu gunakan 'kuasanya' untuk usir kilang kilang di tepi sungai itu demi untuk menjamin tiada gangguan air disebabkan tumpahan minyak dari kilang-kilang tersebut,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi kerajaan negeri berkaitan isu ini.

Tiada ulasan: