PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menyeru bekalan air diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara susulan krisis air di Lembah Klang yang berpunca daripada pencemaran sungai.
K Kalithasan, pengurus penjagaan sungai untuk Pusat Alam Sekitar Global (GEC), berkata beliau menyokong gesaan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago untuk menubuhkan sebuah agensi pengawal selia persekutuan bagi melindungi sungai.
Santiago dilaporkan berkata, sungai perlu dianggap sebagai kawasan keselamatan negara dengan zon penampan sekitar 200m di kedua-dua bahagian, dengan polis dan tentera mengawal kawasan itu.
Kalithasan berkata, ketika ini timbul konflik antara pihak berkuasa persekutuan dan negeri mengenai tanah dan air.
“Ada negeri yang mahukan pembangunan dan meluluskan projek yang mungkin tidak baik untuk alam sekitar.”
Katanya, pencemaran sungai ialah isu keselamatan negara kerana ia menjejaskan orang ramai, daripada akses air minuman kepada operasi hospital dan pusat dialisis.
“Ini menjejaskan kehidupan dan kita tidak boleh terus begini. Sudah tiba masanya MKN mengambil alih bekalan air supaya kita boleh mengawal kepentingan perniagaan dan negeri. Kita perlu lihat pada gambaran lebih besar.”
Andrew Sebastian yang merupakan ketua eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia, turut menyokong gesaan Santiago
.
Andrew Sebastian.
Katanya, perlindungan aset penting seperti sungai dan kawasan tadahan air tidak patut dipolitikkan.
“Sebuah agensi persekutuan yang hanya memantau, mengekalkan dan mengawal selia kawasan tadahan air sehingga bekalan air, sangat diperlukan. Agensi itu perlu diberikan kuasa, dalam hal undang-undang dan penguatkuasaan.
“Semua perlu dikawal selia daripada restoran kepada pengguna, kita tidak boleh membenarkan restoran menuang minyak masak dan air basuhan pinggan ke saluran air.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan