Isnin, 7 September 2020

Kita bangunkan Tanah Rizab Melayu, jangan jual pada bangsa asing

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

'Bina kilang komersial atas tanah rizab, sewa atau jual pada orang Melayu'

BANGI – Tidak perlu bimbang sekiranya anda memiliki Tanah Rizab Melayu kerana harga hartanah akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Pengkaji Sejarah Ikatan Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman berkata, dakwaan kononnya Tanah Rizab Melayu rendah nilainya adalah pembohongan semata-mata.

Beliau berkata, Tanah Rizab Melayu boleh ditukar status kepada komersial untuk dijana keuntungan, sama ada melalui penjualan atau penyewaan.

“Yang penting kita menjual ‘end-product’-nya kepada orang Melayu. Kerana kalau jual pada bangsa asing, dia akan cair.

“Tengok sahaja di Sungai Penchala berapa nilainya sekarang per ekar. Jadi jika orang kata Tanah Rizab Melayu nilainya rendah, dia berbohong kerana sama sahaja nilainya dengan freehold (pegangan bebas),” katanya dalam sesi soal jawab Wacana Dasar ‘Mewakafkan Tanah Melayu’ disiarkan TV Pertiwi.

Beliau berkata, tiada masalah untuk menjual Tanah Rizab Melayu yang dibangunkan asalkan ia dijual kepada orang Melayu.

“Bila bangsa asing beli Tanah Rizab Melayu, secara automatik naik 500-800 kali ganda. Jadi, tak perlu jual, kita sahaja yang bangunkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zaharah berkata, beliau sudah bertemu dengan pihak kerajaan serta beberapa pemimpin bagi mengusulkan supaya satu Perbadanan Pembangunan Tanah Rizab Melayu ditubuhkan.

“Di perbadanan itu, kita jadikan ia pusat pentadbiran, pemantauan, pembangunan, pelaksanaan tanah-tanah rizab ini. Perbadanan ini bawah Parlimen, jadi lebih mudah dibuat.

“Mudah kerajaan nak salurkan dana, atau banyak saluran untuk dapatkan dana seperti daripada Majlis Amanah Negara (Mara), institusi kerajaan lain yang boleh bekerjasama,” katanya.

Dengan adanya perbadanan itu, beliau berkata, orang Melayu tidak perlu lagi membeli ruang komersial mahupun perumahan dengan syarikat asing.

“Kita sendiri buat kilang komersial atas Tanah Rizab Melayu, kita sewa atau jual pada orang Melayu.

“Sekarang ratusan ribu usahawan Melayu perlukan tempat berniaga, perkilangan, pembuatan. Jadi kita perlu lihat dari perspektif yang lebih besar, kita jangan tengok nak buat rumah sewa sahaja.

“Kita perlu satu anjakan paradigma lebih berimpak besar. Kalau nak bersaing dengan bangsa asing itu sahaja caranya,” katanya.

Tiada ulasan: