Jumaat, 4 September 2020

Himpunan Anti Peneroka Tanah Haram Berdiri Teguh Di Belakang Kerajaan Pahang

RAUB– Himpunan Anti Peneroka Tanah Haram dan Penentang Tulisan Jawi hari ini bersepakat untuk terus berada di belakang kepimpinan kerajaan negeri berhubung tindakan terhadap peneroka tanah haram di Raub.

Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Pertubuhan Melayu Islam Seluruh Raub, termasuklah Persatuan Veteran Tentera serta Polis selain beberapa persatuan lain turut hadir bagi menyatakan solidariti kepada kerajaan negeri sekaligus mengharapkan tindakan diteruskan berasaskan lunas undang-undang.

‘Banner’ dan kain rentang turut menghiasi himpunan terbabit seperti ‘Kami Berdiri Teguh Belakang MB’, ‘Jangan Cabar Hak Dan Kedaulatan Kami’, ‘Kosongkan Tanah Haram Yang Diceroboh’ dan sebagainya lagi.

Wakil Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Melayu Islam Seluruh Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata himpunan pada hari ini bagi menyatakan beberapa perkara terhadap apa yang berlaku di Pahang khususnya di Raub.

Menurut beliau himpunan tersebut bukan perhimpunan perkauman malah bukannya himpunan politik dan ianya adalah soal undang-undang yang harus ditegakkan.

“Kenapa apabila orang Melayu bersuara dikatakan rasis, berhimpun dikatakan perkauman…? Kita berhimpun pada hari ini bertujuan untuk menentang sekeras-kerasnya sebarang kegiatan pencerobohan tanah haram di bumi Raub

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Dap yang cuba memanipulasi dan memutarbelit isu sebenar dalam penguatkuasaan terhadap penerokaan tanah haram di bumi Raub.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Dap yang memperlekeh, menghina penggunaan tulisan jawi di bumi Pahang sehingga membawa soal ini ke mahkamah. Apa salahnya kita mengekalkan warisan kita?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Anti Peneroka Tanah Haram dan Penentang Tulisan Jawi di Dataran Rumah Rehat Raub, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi perhimpunan hari ini tanpa mengira warna kulit dan juga latar belakang serta dari pelbagai tempat adalah untuk menyatakan sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri dan teruskan langkah yang sewajarnya.

“Kita bawa mesej jelas… di mana mereka sahaja berada jangan lagi menceroboh lagi bumi Raub. Inilah hasrat kita untuk tidak lagi boleh berdiam diri,'” ujarnya.

 

Sementara itu Naib Pengerusi 1 Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang, Farid Md Nor pula berkata tanggapan dan dakwaan bahawa kerajaan negeri tunduk kepada peneroka haram tidak benar sama sekali sebaliknya menghormati proses mahkamah.

“Tanggapan MB dan kerajaan negeri tunduk tidak benar sama sekali sebaliknya menghormati urusan mahkamah buat sementara waktu.

“Mohon kita sama-sama menjadi agen dan suara panjangkan mesej ini kepada semua pihak dan ini perlu disokong oleh semua. Kita kena bersatu dan tidak ada masa untuk berkelahi sesama sendiri sebaliknya biar MB dan kerajaan negeri tahu dibelakangnya bukan sahaja ada ribuan malah jutaan setelah keputusan diambil nanti,” ujarnya.

 

Bagi seorang Pengamal Undang-Undang, Shaari Suhor dalam ucapannya turut menggesa kerajaan negeri terus menguatkuasakan peraturan berlandaskan undang-undang.

“Negara ada kedaulatan undang-undang… ada keluhuran Perlembagaan… apa yang berlaku menyebabkan masalah kepada penduduk… air tak ada, sokong penuh… supaya tidak ada lagi tanah diceroboh.

“Kepada kerajaan negeri jalankan tindakan sewajarnya, kuatkuasakan dan hentikan pencerobohan dan penerokaan… kita menghormati undang undang,” katanya lagi. – UMNO Online

Tiada ulasan: