Ahad, 6 September 2020

Duda dicekup berkhalwat dengan isteri orang

Zuliaty Zulkiffli
 
PASANGAN yang dicekup kerana disyaki berkhalwat. FOTO Ihsan JAIK.

Alor Setar: Tindakan seorang wanita di sebuah rumah flat di Jalan Langgar, di sini, yang mencuri masuk ke rumah jiran berstatus duda akhirnya membongkar kegiatan maksiat dilakukan mereka.

Mereka dicekup sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam serbuan pada 10.30 malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, ketika serbuan dilakukan, wanita masih berstatus isteri orang berusia 43 tahun dan pasangannya yang sebaya didapati berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan mereka ditahan.

"Wanita itu dikatakan sanggup meninggalkan dua anaknya berusia lima dan 15 tahun di rumah sebelum menyelinap masuk ke rumah jiran sebelah rumahnya itu.

"Siasatan juga mendapati, wanita itu mempunyai masalah rumah tangga dengan suaminya menyebabkan dia berpindah ke kawasan rumah flat berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, lelaki itu bekerja sebagai pemandu lori manakala wanita itu berniaga.

Beliau berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pasangan itu kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan sementara menunggu proses perbicaraan di mahkamah.

Tiada ulasan: