Selasa, 8 September 2020

Dari segi moral, saya sudah menang – Azeez

Manzaidi Mohd Amin
MGF15102019_SIDANG-PARLIMEN26-681x452
Abdul Azeez Rahim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan pindaan pertuduhan oleh pihak pendakwaan, sebagai kemenangan moral baginya.

Beliau menyatakan, kalau sebelum ini amaun tuduhan yang dikenakan ke atasnya sebanyak RM140 juta, semalam, dikurangkan kepada RM14 juta sahaja.

“Ramai sahabat bertanya mengenai tambahan tuduhan pendakwaan ke atas saya semalam. Jadi, biar saya terangkan fakta kes yang sebenarnya berlaku, tetapi tidak dilaporkan oleh media.

“Pertuduhan saya telah dipinda oleh pihak pendakwaan. Amaun tuduhan yang dikenakan ke atas saya telah dikurangkan daripada RM140 juta kepada hanya RM14 juta sahaja.

“Ini adalah satu kemenangan dari segi moral kepada pasukan pembelaan kami,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau, hari ini.

Abdul Azeez berdepan dengan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta sebagai upah mendapatkan projek jalan raya di Perak dan Kedah bagi sebuah syarikat.

Beliau juga menghadapi sembilan pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan, tidak ada satu tuduhan pun melibatkan dirinya dengan Tabung Haji.

Katanya, usaha pelbagai media yang mengaitkan jawatan lamanya selaku pengerusi institusi itu dengan kes yang sedang berjalan adalah suatu propaganda politik yang tidak bermoral.

“Walaupun berkali-kali telah saya nyatakan bahawa tidak ada pendakwaan berkaitan dengan wang Tabung Haji.

“Bagi pertuduhan itu, pihak kami akan meneliti segala fakta kes dan hujahan pendakwaan dari semasa ke semasa. Saya tidak akan menjawab di luar mahkamah bagi mengelakkan unsur subjudis.

“Saya merupakan seorang ahli perniagaan sebelum saya menceburi bidang politik lagi,” tulis beliau.

Namun, kata Abdul Azeez, beliau bersyukur di atas perkembangan terbaru itu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat yang tidak jemu menadah tangan berdoa untuk keselamatan dan kelancaran urusannya.

“Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pembela dan kebenaran akan diketahui umum juga suatu masa nanti, Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: