Isnin, 21 September 2020

6 PATI lemas ketika cuba seludup masuk

Mohamed Farid Noh
 
ENAM PATI yang cuba menyeludup masuk ke negara ini ditemui lemas di pesisir Pantai Teluk C, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Johor Bahru: Enam dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk ke negara ini ditemui lemas di pesisir Pantai Teluk C, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pagi hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mangsa berkenaan dipercayai lemas ketika cubaan memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak diwartakan.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 9.40 pagi.

"Empat mayat wanita dan dua lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ayob Khan berkata, semua mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan pemeriksaan Covid-19.

Dalam waktu yang sama, sembilan PATI warga Indonesia turut ditahan dalam operasi anggota Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di lokasi berkenaan.

Semua PATI yang ditahan termasuk tiga wanita berusia antara 36 hingga 58 tahun dikesan ketika bersembunyi di dalam kawasan berhampiran pantai.

Mereka dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.

Tiada ulasan: