Isnin, 21 September 2020

57 kes baru, lagi kluster dikesan di Tongod Sabah - KKM

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sebanyak 57 kes baru dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes baru hari ini melibatkan 51 penularan tempatan dan enam import dengan kes aktif kebolehjangkitan kini 751.

"Daripada 51 kes penularan di dalam negara, 45 kes adalah warganegara

Malaysia dan enam (6) kes adalah bukan warganegara," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Bagi penularan kes dalam negara, masing-masing satu kes direkod di Kedah dan Selangor.

Sementara itu, lima kes baru dikesan daripada Kluster Kuarters, iaitu kluster baru di Tongod, Sabah yang melibatkan warganegara.

"Kluster ini dikenalpasti hasil saringan yang telah dijalankan di sekitar Daerah Tongod susulan saringan Covid-19 satu petugas kesihatan yang didapati positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 September 2020.

"Beliau telah disaring sebagai saringan rujukan ke hospital. Namun, ujian pengesahan Covid-19 ke atas beliau (iaitu rt-PCR) didapati negatif.

"Saringan di sekitar Daerah Tongod yang bermula pada 6 September 2020 telah melibatkan masyarakat setempat termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan tersebut.

"Kesemua kes positif (iaitu kes ke-10253 hingga ke-10257) dalam kluster ini merupakan warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan," jelas Noor Hisham.

Setakat ini, sejumlah 117 individu dari Kluster Kuarters telah disaring, dengan lima dikesan positif Covid-19 dan 112 masih lagi menunggu keputusan.

Sementara itu, 40 kes pulih dicatat hari ini manakala jumlah terkumpul kes pulih 9,395. 

Tiada kematian dilapor hari ini namun sembilan pesakit sedang dirawat di ICU dengan dua kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiada ulasan: